Showing posts with label harakah. Show all posts
Showing posts with label harakah. Show all posts

Thursday, May 28, 2009

Bawa balik Balasubramaniam, siasat semula akuan bersumpah!

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KeADILan Selangor menggesa agar pihak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa segera penyiasat persendirian Balasubramaniam a/l Perumal yang masih berada di luar negara.

Gesaan ini adalah untuk membantu siasatan berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu melalui Akuan Bersumpah bertarikh 1hb Julai 2008.

Ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mempertikaikan tindakan pantas pihak kerajaan yang begitu cepat meminta bantuan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang Raja Petra Kamaruddin yang berada di luar negara sebaliknya dalam isu akuan bersumpah Balasubramaniam seolah-olah tiada berita dan perkembangan terkini.

"Kita juga membidas pihak-pihak tertentu yang mempolitikkan isu mengenai kembalinya ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) berkaitan membawa pulang bekas Ketua PKM ke Malaysia.

"Isu ini ditimbulkan hanya strategi politik 'desperado' sesetengah pihak Umno/BN yang berusaha membakar hati dan perasaan bekas anggota keselamatan,keluarga dan rakyat Malaysia untuk menyokong kembali Umno/BN yang semakin hilang sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, " katanya dalam satu kenyataannya.

Beliau berharap penyiasat persendirian Balasubramaniam perlu dibawa pulang segera oleh kerajaan kerana akuan bersumpah yang pernah dibuatnya melibatkan individu yang sangat penting negara ini.

"Semakin melambatkan tindakan untuk membawa pulang selama itu juga nama baik individu yang sangat berprofil tinggi itu terus tercemar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Katanya AMK Selangor berharap isu membawa pulang bekas ketua PKM ini tidak menjadi satu lagi isu sensasi politik pihak-pihak tertentu yang semakin hilang dari sokongan rakyat.

"Amat jelas isu ini sudah lama selesai dan tidak perlu ditimbulkan semula lagi. Kini rakyat Malaysia lebih bijak dan pintar dalam menganalisis sesuatu isu melalui perkembangan semasa revolusi maklumat global," katanya.

Harakah
29/05/09

Read more...

Tuesday, February 17, 2009

Tutup Plaza Tol PJS 2 tidak adil, kata penduduk


PETALING JAYA, 16 Feb (Hrkh) - Penduduk sekitar Kampung Medan tetap akan melakukan demonstrasi kerana kurang puas hati dengan tindakan kerajaan yang hanya menutup Plaza Tol PJS 2 menghala ke Kuala Lumpur sedangkan laluan menghala ke Petaling Jaya tetap dikutip oleh Lebuh Raya Pantai Baru (NPE).

Pada Jumaat, 13 Februari lalu, kerajaan BN telah memutuskan menutup Plaza Tol PJS 2 di NPE berhampiran Kampung Dato' Harun dengan tujuan meringankan pengguna terutama mereka yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.

Bagaimanapun, penutupan tol di sebelah jalan sahaja tidak memberi faedah kepada penduduk kerana mereka terpaksa juga membayar tol di Plaza menuju ke Petaling Jaya.

Sehubungan itu, lebih 300 penduduk berdemonstrasi di jalan utama berhampiran Plaza Tol mendesak kerajaan supaya menutup Plaza tol di kedua-dua jalan raya.

Dalam demonstrasi tersebut mereka membawa banner bertulis 'Hapuskan tol, selamatkan duit rakyat'; 'Tol Umno masuk'; 'Tol beban rakyat'; 'Hapuskan Tol BN tipu rakyat', 'Tol membawa padah' dan sebagainya.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kampung Medan, Arifin Mahyuddin menegaskan, penduduk tetap tidak berpuas hati kerana masih lagi membayar tol sebanyak RM1.60 untuk ke Kampung Medan.

"Kita kecewa dengan sikap dan keputusan menteri yang hadir pada hari Jumaat lalu, kerana tol yang dimansuhkan hanya jalan ke Kuala Lumpur," tegasnya.

Menurut beliau, penduduk akan terus berdemonstrasi sehingga tol jalan ke Petaling Jaya dimansuhkan.

Beliau berkata, sepatutnya tol tidak perlu tetapi jalan lama yang sedia ada perlu dilebarkan.

Sebelum tol diwujudkan penduduk Kampung Medan telah membantah tindakan pihak kerajaan yang akan mewujudkan tol, katanya.

Seorang penduduk Kampung Medan, Rosli Baharudin tetap akan meneruskan bantahan kerana tol yang dimansuhkan hanya jalan menghala ke Kuala Lumpur.

"Kami mengharapkan kerajaan lebih prihatin kepada penduduk Taman Medan dan penutupan plaza tol itu sepatutnya di lakukan di kedua-dua hala," tegasnya.

Beliau berkata, jika menteri terbabit mengatakan penutupan tol itu untuk kepentingan penduduk Taman Medan, tol yang ditutup menghala ke Subang bukan menghala ke Kuala Lumpur.

Ini kerana katanya, laluan ke Kuala Lumpur itu tidak digunakan oleh penduduk di Taman Medan.

Sebagai wakil penduduk beliau mendesak supaya kerajaan Pusat lebih prihatin akan nasib penduduk Kampung Medan. - lanh _

Read more...

Sunday, September 28, 2008

Solat Hajat, doa bebaskan tebusan kapal MISC

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - PAS menyeru semua ahli di pelbagai peringkat termasuk umat Islam di seluruh negara untuk menunaikan solat hajat dan mendoakan agar kesemua 80 anak kapal Malaysia International Shipping Corporation (MISC) Berhad yang menjadi tebusan lanun di Teluk Aden segera dibebaskan daalam keadaan selamat.

Iklan

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamarudin Jaffar berkata keluarga mangsa pasti merasa resah dan sedih kerana nasib anak kapal tersebut masih 'terumbang-ambing' kerana sudah menjadi tebusan lebih 40 hari, tambahan pula tatkala umat Islam di Malaysia bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

"Sehubungan dengan itu, dengan kemampuan yang ada kita mestilah sentiasa memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa dan bersama-samalah bermunajat ke hadrat Allah agar mereka semua dibebaskan dengan secepat mungkin," katanya kepada Harakah.

Beliau mahu ahli-ahli PAS dan umat Islam setiap masa mendoakan keselamatan tebusan terbabit ketika menunaikan solat tarawikh, berbuka puasa ataupun sewaktu melaksanakan amal ibadat lain.

"Ini ujian yang dihadi oleh mereka, esok-esok kita tidak tahu bahgian dan ujian kepada kita pula. Sama-samalah bermuhasabah diri dan mendoakan mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Beliau juga meminta agar kerajaan Malaysia memberi bantuan sewajarnya dan melakukan tindakan drastik untuk memastikan keselamatan anak-anak kapal terbabit terjamin di samping memberi 'tekanan' kepada lanun dan pihak berkaitan untuk segera membebaskan mereka.

"PAS juga berharap agar kaum keluarga tebusan tabah menghadapi ujian getir ini dan sentiasa berfikiran positif dan yakin dengan pertolongan Allah swt," katanya.

Sementara itu mengulas isu sama, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS mahu kerajaan Malaysia bertindak lebih agresif bagi membantu menyelamatkan nyawa mereka dan tidak mengambil tempoh yang terlalu sehingga membahayakan keselamatan dan mendatangkan kebimbangan serius kepada kamu keluarga mangsa.

"PAS juga membantu dan berusaha secara diplomatik dan menggunakan saluran tidak rasmi dalam usaha untuk membebaskan rakyat malah gerak kerja sudah dari awal, sejak hari pertama kapal dirampas. Kita sudah menghubungi rakan-rakan di Timur Tengah namun tidak boleh maklumkan secara terperinci atas sudut keselamatan.

"Sebolehnya konflik ini kita mahu diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Syawal," katanya ketika dihubungi Harakah.

Untuk rekod Kapal dagang MT Bunga Melati Dua milik MISC telah dirampas lanun di perairan Teluk Aden, antara Somalia dan Yemen pada 19 Ogos 2008 jam 10.09 malam di mana terdapat 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dalam kapal itu semasa kejadian.

Kapal tangki itu membawa minyak kelapa sawit belayar dari Dumai, Sumatera, Indonesia ke Rotterdam , Belanda. Pasukan lanun itu dilaporkan menggunakan senjata moden seperti AK-47 dan pelancar granade dan memanjat dinding vesel dengan galah. Kapal itu seberat 32,169 tan dibina pada 1997 dan mampu dipintas oleh bot laju lanun.

Manakala kapal MT Bunga Melati Lima telah dirampas oleh lanun di Teluk Aden, Somalia - Yemen jam 9.50 malam , 29 Ogos 2008, 10 hari selepas kejadian pertama 19 Ogos 2008 .

Kapal itu dikendalikan oleh 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia dan krew penyelenggaraan sementara warga Filipina . Kapal itu membawa 30,000 MT bahan petrokimia dari Yanbu, Arab Saudi ke pelabuhan Singapura. - mr_

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP