Showing posts with label kosmos. Show all posts
Showing posts with label kosmos. Show all posts

Tuesday, October 6, 2009

UFO jejaki peluru berpandu Iran


IMEJ rangkaian berita Fox News menunjukkan satu objek misteri (dalam bulatan) menjejaki peluru berpandu Iran baru-baru ini.


TEHERAN - Sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) dilihat di angkasa ketika pihak berkuasa Iran mengadakan satu ujian peluru berpandu baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Klip video itu menunjukkan objek misteri tersebut memecut di ruang udaranya sebelum membelah awan ketika rakaman tertumpu pada peluru berpandu Iran sejurus selepas ia dilancarkan.

Rakaman itu menunjukkan UFO itu bertindak menjejaki peluru berpandu itu.

Iran melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat pada Sabtu lepas sekali gus membangkitkan kemarahan Barat dan Israel.

Satu laporan di Amerika Syarikat (AS) yang disiarkan rangkaian berita Fox News mendedahkan kehadiran UFO itu ketika peluru berpandu kedua dilancarkan.

Klip video itu menunjukkan peluru berpandu Shahab-3 melonjak ke udara.

Namun, selepas 38 saat segumpal awan berhampiran terbelah dua oleh sebuah objek terbang yang bergerak pada kelajuan tinggi.

Mengulas mengenai isu tersebut, seorang pakar UFO dari Britain, Nick Pope, menyifatkan insiden yang jarang berlaku itu sebagai satu fenomena menakjubkan.

Menurutnya, kelajuan objek misteri itu menunjukkan ia bukan pesawat buatan manusia.

"Namun, mungkin juga ia sebuah pesawat kawalan jauh milik Amerika Syarikat (AS). Sebelum ini, AS merahsiakan pembuatan pesawat prototaip daripada pengetahuan umum selama beberapa tahun," katanya. - Agensi

Read more...

Thursday, October 1, 2009

Samoa seperti neraka dunia


BEBERAPA penduduk berjalan melintasi sebuah kampung yang musnah dekat Apia, Pulau Samoa semalam.


APIA, Samoa - Pasukan menyelamat tiba kelmarin di beberapa kawasan perkampungan kepulauan Samoa di Pasifik bagi memberi bantuan kecemasan selepas angka kematian meningkat kepada 150 orang akibat tsunami yang berlaku ekoran gempa bumi kuat pada Selasa lalu.

Mangsa-mangsa yang terselamat menyatakan mereka ternampak sejumlah mayat diangkut menggunakan lori di Samoa tetapi angka korban dijangka terus meningkat.

"Samoa bukan syurga peranginan lagi, ia seperti neraka dunia," kata seorang mangsa yang terselamat di Apia, Samoa yang berjiran dengan Pulau Samoa milik Amerika Syarikat (AS).

Gempa bumi kuat yang berukuran 8.3 pada skala Richter berlaku pada Selasa lalu di Samoa menyebabkan tercetusnya tsunami yang melanda pulau-pulau di Lautan Pasifik.

Tsunami itu melanda Pulau Samoa milik AS dan Kepulauan Samoa yang merdeka.

read more

Read more...

Gempa paling dahsyat


PASUKAN keselamatan mengusung mangsa gempa yang terselamat akibat gempa bumi di Padang, Sumatera semalam.


PADANG, Sumatera - Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan-bangunan di sini semalam selepas ribuan orang dikhuatiri terbunuh dalam gempa bumi kuat yang melanda Pulau Sumatera di Indonesia.

Gempa berukuran 7.6 pada skala Richter itu melanda bandar Padang yang mempunyai jumlah penduduk sebanyak 900,000 orang kelmarin dengan menyebabkan beratus-ratus bangunan termasuk 500 rumah runtuh manakala bekalan elektrik dan talian telefon terputus.

Keadaan di sini porak-peranda dengan mayat bergelimpangan manakala kebakaran berlaku di merata-rata tempat.

"Sebelum ini saya telah melalui beberapa gempa bumi tetapi ini yang paling dahsyat.

"Kesan darah dapat dilihat di merata-rata tempat, mangsa-mangsa pula kehilangan anggota badan. Kami melihat bangunan-bangunan runtuh, ramai orang nazak," kata seorang warga Amerika Syarikat, Greg Hunt, 38, di lapangan terbang di sini semalam. read more

Read more...

Sunday, March 1, 2009

Keluarga 13 beranak hidup merempat dalam hutan


JERANTUT - Siang rimas dengan panas matahari, malam pula berpelukan menahan sejuk dalam pondok buruk yang menjadi rumah mereka di dalam hutan dekat Kampung Sepial Lama di sini sejak tiga bulan lalu.

Itulah derita kehidupan ibu tunggal, Rosni Abdullah, 41, yang tetap nekad menjaga 12 orang anaknya yang berusia antara dua hingga 15 tahun.

Selepas bercerai dengan bekas suaminya yang merupakan seorang penoreh getah, Rosni membawa keluarganya masuk ke dalam hutan setelah tidak mampu menyewa rumah.

Sudahlah tiada bekalan elektrik, untuk mendapatkan air Rosni terpaksa menggali sendiri perigi.

Pondok itu juga dibinanya sendiri daripada sisa kayu dan berdindingkan tikar getah buruk yang lusuh.

Kedudukan rumah itu yang terpencil menyebabkan Rosni terpaksa berjalan sejauh lapan kilometer ke jalan utama Kampung Sepial Lama untuk menaiki bas ke pekan Tembeling. Kini dia bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah gerai di pekan itu dengan gaji RM15 sehari.

"Semasa saya bekerja, anak-anak tinggal di pondok ini bersama adik-beradik. Mereka tak sekolah," ujarnya.

Ketika dia bekerja, anak perempuan sulungnya yang berusia 15 tahun menjaga keluarga. Mereka makan nasi berlaukkan ikan kering setiap hari.

Rosni mendakwa dia ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang sebanyak RM70 sebulan sejak beberapa bulan lalu tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung hidup dia dan anak-anaknya.

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK

p/s : aku amat bersimpati sekali dengan keluarga ini, di era zaman pemerintahan kerajaan BN di pahang pun masih ada lagi keadaan keluarga yang sebegini.


Read more...

Wednesday, February 11, 2009

Sentuhan gay durjana

Oleh Mohamad Hussin dan Mohd Firdaus Ibrahim

mohamad@hmetro.com.my

AYER HITAM: Awas lelaki kacak berharta dan kedudukan tinggi kerana anda mungkin diperhatikan lelaki gila seks songsang yang menggunakan ilmu pukau untuk menjalinkan hubungan cinta sejenis dan mengikis harta anda.

Lelaki berusia 30-an itu dikatakan memiliki kebolehan luar biasa dengan hanya menyentuh bahu mangsa ketika berselisih di tempat awam untuk menjadikan mereka tempat melampiaskan nafsu songsangnya.

Sihirnya dapat mematikan nafsu mangsa terhadap wanita, termasuk isteri supaya dapat dijadikan kekasih sejenis.

Selepas beberapa bulan menjalin hubungan intim, kesempatan itu digunakannya untuk mengikis harta mangsa, termasuk tanah bagi membuktikan keutuhan percintaan mereka selain wang perbelanjaan setiap bulan.

Terbaru, seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Murad, 40-an menjadi mangsa lelaki bernafsu syaitan terbabit.

Menurutnya, sebaik bersentuhan bahu di sebuah pasar raya dalam kejadian setahun lalu, dia terpukau dan mula terpikat kepada lelaki itu biarpun menyedari kaum sejenis.

“Ketika itu, perasaan ingin mengenalinya amat tinggi. Sebaik disapa, saya terus menjadi selesa dengannya biarpun baru mengenalinya.

“Setahu saya sebelum ini saya seorang yang agak pendiam dan jarang bertegur sapa dengan sesiapa, terutama individu tidak dikenali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Selepas beberapa bulan mengenali lelaki terbabit, Murad dipelawa ke rumahnya untuk berbual kosong.

Dia hanya menuruti permintaan itu tanpa berfikir panjang dan akhirnya terjerumus ke lembah kehinaan.

Malah, kata mangsa, dia langsung tidak mempedulikan perbuatannya menyalahi ajaran agama.

“Sejak hari itu, saya mula diperlakukan seperti kekasihnya dan terpaksa melayani nafsu buasnya.

“Peliknya, nafsu saya terhadap isteri dan perasaan sayang kepada keluarga, termasuk ketiga-tiga anak saya sudah hilang. Apa yang ada dalam fikiran saya hanyalah lelaki itu,” katanya yang mendedahkan perkara itu bagi mengelakkan kejadian sama menimpa orang lain.

Murad berkata, akibat terlalu mencintai lelaki itu, dia sanggup memberikan beberapa hektar tanah sebagai hadiah selain wang saku RM2,000 sebulan.

Lebih dikesalinya, dia pernah menghalau isteri dan anak keluar rumah semata-mata untuk melayan nafsu lelaki berkenaan.

“Mana tidaknya, setiap kali melihat dia, gelora nafsu saya tidak mampu bertahan dan keinginan melakukan hubungan songsang dengannya makin menjadi-jadi.

“Namun, dengan bantuan ahli keluarga akhirnya saya pergi mendapatkan rawatan tradisional dan bersyukur kerana sudah sembuh daripada ‘penyakit’ itu,” katanya.

Kini dia sedang berusaha menyelamatkan rumah tangganya daripada kehancuran dan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila terserempak dengan orang yang tidak dikenali.

Pengamal perubatan tradisional, Fadzil Othman, 46, berkata mangsa sebenarnya disihir lelaki terbabit.

“Dia turut diberi makan benda kotor yang dijampi bagi mematikan nafsunya terhadap isteri. Ini bukan kejadian pertama, saya sudah mengubati lebih 10 pesakit seumpama itu dan bersyukur kerana berjaya membantu mereka,” katanya.

Menurut Fadzil, perbuatan sihir itu mampu dihindari jika orang ramai tidak meninggalkan Rukun Islam selain mempunyai pendinding ketika meninggalkan rumah.

“Antara amalan yang boleh dijadikan sebagai pendinding adalah berwuduk selain mengamalkan ayat Kursi,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria ketika dihubungi berkata, perbuatan segelintir individu mengamalkan sihir bagi mendapatkan habuan haram di sisi agama.

“Tidak kiralah apapun tujuan penggunaannya ia tetap sesat. Mana tidaknya, sihir itu sendiri digunakan untuk tujuan salah semata-mata memerangkap mangsa bagi mendapatkan keuntungan sendiri.

“Orang ramai perlu meningkatkan keimanan selain tidak meninggalkan rukun Islam bagi mengelakkan diri daripada terkena sihir itu,” katanya.

Read more...

Tuesday, February 10, 2009

Mohammad Nizar dihalang ‘lapor diri ke pejabat MB’

MOHAMMAD Nizar dihalang daripada memasuki bangunan SUK di Ipoh semalam.

IPOH – Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perak dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semasa beliau cuba ‘melapor diri untuk bekerja’ pagi semalam.

Mohammad Nizar bersama-sama bekas Exco kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat, termasuk Datuk Ngeh Koo Ham daripada DAP, tiba dengan beberapa buah kereta pada pukul 11 pagi dan disambut oleh kira-kira 40 penyokong.

Bagaimanapun, semasa mereka tiba di pintu utama, polis menghalang mereka daripada masuk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias kemudian menasihatkan Mohammad Nizar dan kumpulan supaya bersurai kerana kehadiran mereka menyebabkan kesesakan trafik.

“Saya minta Datuk Seri (Mohammad Nizar) dan penyokong agar beri kerjasama kepada pihak polis dengan segera beredar dari sini dan tidak menimbulkan kekecohan mahupun menghalang lalu lintas,” beritahu Azisman kepada Mohammad Nizar.


Read more...

Sunday, February 1, 2009

Misteri pocong terbongkar

Oleh FARIK SALLEH
berita@kosmo.com.my

Mohamad (kanan) dan Mad Zamri mengangkat 'pocong' yang ditinggalkan di tebing Sungai Johor di Kampung Tembioh, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI - Tiga ketul batu berwarna kelabu kehitaman seperti batu nisan ditemui dalam bungkusan 'pocong' lima sekeluarga yang menggemparkan penduduk Kampung Tembioh, dekat sini kelmarin.

Selain itu, batu itu diselaputi kapas dan bungkusan plastik hitam serta bau kapur barus yang agak kuat.

Itulah yang ditemui oleh dua penduduk kampung tersebut, Mad Zamri Ademin, 37, dan Mohamad Hussin, 44, setelah memberanikan diri untuk membuka ikatan 'pocong' tersebut semalam.

Kelmarin, penduduk sebuah kampung tradisional di pinggir bandar Kota Tinggi digemparkan dengan penemuan lima objek menyerupai 'pocong' yang terdampar di tebing Sungai Johor.

Dalam pada itu, penduduk di situ meminta pihak berkenaan tidak membiarkan 'pocong' tersebut terbiar begitu sahaja di sungai tersebut.

Seorang penduduk, Othman Abas, 50, berkata, pihak terbabit tidak sepatutnya membiarkan keluarga 'pocong' itu berkampung di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kejadian yang berlaku ini bukan sahaja memberi tanggapan tidak baik terhadap masyarakat di sini, malahan penduduk terutamanya wanita dan kanak-kanak mulai takut untuk melalui kawasan berkenaan.

Menurut Othman, setiap hari tidak kira siang atau malam, pinggir sungai di kampung ini menjadi tumpuan orang ramai memancing ikan dan udang galah.



Read more...

Tuesday, January 6, 2009

Kempen boikot produk Yahudi dilancar


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengajak orang ramai memboikot produk Yahudi sebagai membantah kekejaman negara itu terhadap Palestin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ma’amor Osman berkata, satu kempen memboikot produk keluaran syarikat milik Yahudi akan dimulakan Jumaat ini di Masjid Negara, sebagai isyarat yang jelas kepada Israel dan negara sekutunya supaya tidak terus menzalimi penduduk negara Islam berkenaan.

“Boikot ini adalah bagi membantah kebiadapan dan kezaliman Israel dan sekutunya ke atas rakyat Palestin dan saya harap semua rakyat negara ini turut serta dengan tidak menyokong produk- produk Yahudi,’’ katanya ketika ditemui semalam.

Dalam pada itu, Ma’amor turut menggesa Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) untuk menarik balik sijil halal yang diberikan kepada syarikat pengeluar produk terpilih milik Yahudi.

“Perbuatan mereka menzalimi penduduk Palestin terutama wanita dan kanak-kanak jelas tidak halal dan menyokong produk keluaran itu seolah-olah menyokong perbuatan mereka yang bencikan keamanan dan keadilan sejagat.

“Selain itu, pelancaran boikot ini antara lain adalah bagi menggalakkan orang ramai untuk menyokong penggunaan produk keluaran tempatan terutama membabitkan perniagaan kaum bumiputera,’’ katanya.

Ma’amor berkata, negara mempunyai produk tersendiri yang setanding dengan produk negara luar, terutama produk-produk makanan yang tidak kurang hebatnya.

Sumber - Kosmo


Read more...

Monday, December 1, 2008

Petrol saja akan turun

Kosmo - JOHOR BAHRU – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, pengurangan harga minyak akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji dan kali ini ia dijangka hanya melibatkan petrol sahaja.

Penurunan harga petrol itu, katanya tidak akan melebihi 15 sen.

“Kita sekarang berdepan dengan keadaan luar biasa di mana harga diesel di pasaran dunia adalah lebih tinggi daripada petrol dan sebab itu kerajaan masih memberi subsidi RM1.43 untuk harga diesel,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penutupan Seminar Pembangunan Perniagaan Bagi Peniaga dan Usahawan Kecil di sini semalam.

Dengan penurunan itu harga minyak petrol RON97 dijangka turun daripada RM2 kepada RM1.85 seliter manakala RON92 daripada RM1.90 kepada RM1.75 seliter.

Pada 17 November lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Read more...

Thursday, November 20, 2008

Harga minyak RM1.85?

KUALA LUMPUR - Kerajaan mungkin menurunkan sekali lagi harga minyak sebanyak 15 sen, untuk kali keenam berturut-turut, awal bulan depan.

Pada masa ini, harga minyak RON97 ialah RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing RM1.90.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, penurunan itu kini dilihat wajar memandangkan minyak dunia kini didagangkan di bawah paras AS$60 setong.

"Saya fikir harga turun lagi. Perbincangan sedang dibuat dengan pelbagai pihak termasuk pengusaha pam minyak.

"Mereka minta jika berlaku penurunan kerajaan perlu menurunkan hanya 10 sen bagi mengelak mereka terpaksa menanggung kerugian 3 sen bagi setiap liter tetapi kerajaan berpendapat 10 sen terlalu rendah,'' katanya di lobi Parlimen semalam.


sumber kosmo

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP