Tuesday, December 2, 2008

UMNO pecat Zaid Ibrahim

Utusan - KUALA LUMPUR 2 Dis. – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta merta ekoran beberapa tindakan beliau yang bertentangan dengan etika parti termasuk menghadiri perhimpunan parti pembangkang.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat malam ini juga turut menggantung keanggotaan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim selama tiga tahun kerana membuat kenyataan mengkritik parti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini berkata, Zaid dipecat kerana menghadiri Perhimpunan Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lalu selain tindakannya menghadiri beberapa program anjuran parti pembangkang.

“Pemecatan ini adalah muktamad dan tidak boleh merayu,” tegasnya.

Beliau memberitahu, Zahar pula digantung kerana beberapa tindakannya yang menimbulkan perkara sensitif dan boleh mencetuskan perbalahan dalaman.

Difahamkan antara sebab Zahar dipecat ialah kerana menyertai laman-laman web propembangkang dan melontarkan idea-idea yang bertentangan dengan prinsip parti.

Ditanya mengenai tindakan pemecatan terhadap Zaid, Abdullah berkata, tindakan tersebut adalah satu keperluan berdasarkan pada apa yang dilakukan oleh Zaid.

“Dalam UMNO kita tidak amal double standard. Lain orang, lain keputusan. Tindakan Zaid dengan kehadiran beliau di kalangan pemimpin parti pembangkang dalam majlis-majlis yang diadakan pembangkang dilihat sebagai menyalahi etika parti,” katanya.

Dalam pada itu, Abdullah menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai pakatan pembangkang.

Menurutnya, pada pertemuan semalam Arif Shah menyatakan akan tetap setia bersama BN dan tidak berminat menyertai parti lain.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Abdullah berkata, MT memutuskan supaya persiapan disegerakan dan badan-badan perhubungan UMNO negeri turut disaran membantu jentera pilihan raya parti.

Katanya, calon BN belum dapat ditentukan lagi dan tarikh pilihan raya kecil itu akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Read more...

Monday, December 1, 2008

Petrol saja akan turun

Kosmo - JOHOR BAHRU – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, pengurangan harga minyak akan dilaksanakan sebelum Hari Raya Haji dan kali ini ia dijangka hanya melibatkan petrol sahaja.

Penurunan harga petrol itu, katanya tidak akan melebihi 15 sen.

“Kita sekarang berdepan dengan keadaan luar biasa di mana harga diesel di pasaran dunia adalah lebih tinggi daripada petrol dan sebab itu kerajaan masih memberi subsidi RM1.43 untuk harga diesel,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penutupan Seminar Pembangunan Perniagaan Bagi Peniaga dan Usahawan Kecil di sini semalam.

Dengan penurunan itu harga minyak petrol RON97 dijangka turun daripada RM2 kepada RM1.85 seliter manakala RON92 daripada RM1.90 kepada RM1.75 seliter.

Pada 17 November lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP