Showing posts with label Bernama. Show all posts
Showing posts with label Bernama. Show all posts

Friday, October 24, 2008

Majlis Fatwa haramkan perbuatan wanita

KOTA BHARU - Majlis Fatwa Kebangsaan semalam membuat ketetapan untuk mengharamkan perbuatan wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, pengharaman itu dibuat berdasarkan kepada perkembangan terkini di kalangan golongan remaja terutama kaum wanita, yang cenderung kepada cara hidup kaum lelaki sedangkan mereka adalah wanita sebenar.

“Yang ketara lagi apabila berlaku kegiatan seksual dengan kaum sejenis iaitu perempuan sama perempuan,” katanya pada persidangan media di sini, semalam, selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa.

Dr Abdul Shukor berkata, remaja perempuan kini didapati lebih gemar dengan cara hidup kaum lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan sahaja bertentangan perkara tersebut dengan fitrah asal manusia tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.

“Memandangkan perkembangan terkini ini, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah semalam mengambil ketetapan dan pendirian bahawa perbuatan seperti itu adalah haram dan dilarang sama sekali,” katanya.

Beliau menyarankan ibu bapa, keluarga dan ahli masyarakat supaya memberitahu larangan itu kepada golongan terbabit agar tidak melakukan perkara yang dikira salah dengan ajaran Islam.

“Inilah yang membimbangkan apabila melihat golongan wanita sudah lebih cenderung kepada cara hidup lelaki termasuk dalam berpakaian,” katanya.

Majlis turut membuat ketetapan untuk membolehkan seseorang cucu mewarisi harta pusaka datuk mereka sekiranya bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk mereka.

Dr Abdul Shukor berkata, tindakan itu diambil demi menjaga kepentingan cucu tersebut, sekiranya harta itu tidak diagihkan kepada mereka selepas kematian bapa mereka.

“Bagi sesetengah cucu dari kalangan yang tidak berada, tentunya dengan sejumlah kecil harta yang diberikan oleh datuknya, dapat mengelak perkara yang tidak diingini menimpa ke atas mereka,” katanya.

Menurut Dr Abdul Shukor, cucu sebenarnya tidak layak menerima harta pusaka tinggalan datuk mereka sekiranya bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk mereka.

Bagaimanapun pengagihan yang dibuat adalah tidak melebihi satu pertiga dari lebihan harga pusaka tersebut selepas ditolak pembayaran hutang datuk dan sebagainya, katanya. -BERNAMA

Read more...

Wednesday, October 22, 2008

Penahanan Raja Petra Berniat Jahat, Kata Peguam - ref malaysiakini

SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Seorang peguam yang mewakili tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Raja Petra Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini perintah penahanan anak guamnya di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri adalah berniat jahat.

Azhar Azizan Harun berkata terdapat andaian ketara bahawa penahanan itu bukan didorong oleh keprihatinan tentang keselamatan negara tetapi hasrat untuk menyenyapkan pengkritik lantang dan berpengaruh terhadap kerajaan serta parti-parti politik dan individu dalam kerajaan.

"Pemohon pada ketika tertentu mengkritik antara lain, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan responden (Menteri Dalam Negeri). Ini menjejas kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana dapat dilihat pada anjakan sokongan pengundi," kata beliau.

Beliau juga berkata Raja Petra tidak pernah diberitahu tentang sebab penangkapan atau penahanannya kecuali satu dokumen yang beliau diminta tandatangani di balai polis Jalan Travers pada 12 Sept, yang hanya menyatakan beliau telah menghina Islam dan beliau merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

"Di bawah Seksyen 8(1) ISA, responden mesti berpuashati bahawa penahanannya perlu bagi menyekat tahanan dari bertindak dalam apa cara yang membahayakan keselamatan Malaysia. Oleh itu responden mesti melihat pada semua fakta dan persekitaran hingga berpendapat pemohon adalah satu ancaman kepada keselamatan negara sebelum ia berpuashati bahawa penahanan pemohon adalah perlu bagi menyekat beliau dari bertindak dalam apa cara yang membahayakan keselamatan Malaysia.

"Pemohon juga tidak bersalah dengan mana-mana jenayah; beliau didakwa dengan pelbagai kesalahan dan perbicaraan masih tergantung. Oleh kerana tidak ada tindakan yang dikatakan dilakukan pada masa depan yang boleh membahayakan keselamatan Malaysia, perintah Seksyen 8 adalah jelas pelaksanaan kuasa yang bersifat berniat jahat," kata beliau.

Malik Imtiaz Sarwar yang turut mewakili Raja Petra, berkata jika satu daripada asas penahanan kerana beliau telah dengan sengaja dan cuai menerbitkan artikel di Malaysia Today yang menghina Muslim, mengapa ia tidak didakwa dengan kesalahan menghina Islam oleh pihak berkuasa agama.

Beliau berkata tidak ada "fatwa" yang pemohon telah menghina Islam atau telah bertindak dalam cara bertentangan dengan prinsip Islam.

"Soal sama ada pemohon telah menghina Islam merupakan perkara di dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama Selangor. Responden tidak boleh mengambil alih tugas itu. Walaupun responden mempunyai kuasa dalam hal keselamatan di bawah ISA, autoriti ini tidak memberi kuasa kepada responden menentukan isu-isu berkaitan Islam.

"Adalah perlu bagi responden mendapatkan pengesahan dari pihak berkuasa agama negeri atau mahkamah syariah negeri bahawa tindakan yang diadukan itu satu penghinaan kepada Islam atau jika tidak, ia melanggar Islam sebelum ia boleh mengambil langkah di bawah ISA. Atas alasan ini saja, penahanan itu perlu diisytiharkan tidak sah," kata beliau.

Raja Petra memohon writ habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan dirinya dari tahanan di bawah ISA atas alasan penahanannya adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Beliau menamakan menteri Datuk Seri Syed Hamid Albar, sebagai responden.

Isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee, dan dua orang anak perempuan mereka -- Sarah, 19, dan Suraya, 34, -- dan beberapa orang penyokong kelihatan berada di mahkamah.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad berhujah bahawa penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan adalah sah dan mengikut undang-undang.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menetapkan 7 Nov untuk keputusan mengenai permohonan habeas corpus itu.

-- BERNAMA

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP