Showing posts with label harakahdaily. Show all posts
Showing posts with label harakahdaily. Show all posts

Monday, August 10, 2009

Siapa pengkhianat sebenar bangsa, negara?

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara? Benarkah pengkhianat sedemikian wujud atau sekadar dongengan Umno-BN untuk meraih simpati murahan daripada rakyat?

Persoalan pengkhianat bangsa dan negara bukan kali pertama diutarakan. Malah jika dilihat,ungkapan sedemikian seringkali menjelma terutama dalam menghadapi detik-detik pilihan raya atau negara sedang dilanda pelbagai isu yang hangat.

"Rakyat tidak pernah lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen,"tegas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam blog peribadinya.

Beliau yang mengulas isu khianat sebelum itu menjelaskan siri program yang dihadirinya semalam.

"Saya tiba sekitar jam 5.00 petang di Felda Neram Satu. Acara tersebut disusun khas bagi mendekati masyarakat Felda serta menerangkan keutuhan Permuafakatan Pakatan Rakyat dan khususnya jalur perjuangan Parti Keadilan Rakyat.

"Ditekankan keutamaan dasar yang dilakar demi kesejahteraan rakyat semua, dan bukannya hanya untuk memenuhi nafsu tembolok tauke-tauke kaya serta sesegelintir bangsawan politik semata.

"Turut disentuh kejayaan negeri-negeri pentadbiran Pakatan Rakyat yang berusaha bersungguh-sungguh membasmi kemiskinan dan memerangi rasuah kendati pun berhadapan serangan bertali arus aparat umno-BN,"jelasnya.

Beliau juga menerangkan bagaimana program menjamin kebajikan rakyat seumpama pemberian air percuma, tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas yang dilaksanakan di Kelantan mahupun Selangor.

"Tidak ketinggalan, saya menegaskan pentadbiran di semua negeri Pakatan Rakyat yang berlandaskan kebolehan, pertanggungjawaban dan ketelusan. Semua dasar tersebut terbukti mesra pelabur, apatah lagi ketika mengalami kemurungan, mereka tentunya mahukan pengurusan ekonomi terbaik dan beramanah.

"Program seterusnya adalah ceramah bersama Dato' Chua Jui Meng di Bandar Chukai dan kemudiannya ceramah perdana di Kerteh bersama Saifuddin Nasution, Ustaz Harun Taib serta Abdul Rahman Yusuf. Lanjutan mengungkapkan dasar pemerintahan yang beramanah, saya lontarkan pula lawan dari makna amanah itu; perbuatan khianat.

"Sudah tentu isu khianat digembar gemburkan hanya dengan dengan satu tujuan, iaitu untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menjadikan saya sebagai sasaran. Sungguh tidak sangka jentera propaganda sanggup berbuat apa sahaja apabila terdesak hatta cuba memperbodohkan rakyat. Namun saya senantiasa yakin dengan kemampuan rakyat membuat penilaian dan pertimbangan.

"Rakyat sedar siapa yang sebenar-benarnya mengkhianati amanah nusa dan harapan rakyat negara ini. Mereka sudah tentu tidak lupa siapakah yang menggadai Genting Highlands, Pangkor Laut dan penyelewengan dana awam di atas nama komisen. Itu semua dilakukan hanya demi kepentingan sendiri,"tegasnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) mendakwa ada individu-individu yang sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.

"Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan Umno) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang," katanya. - mks. _

Source ~ Harakahdaily

Read more...

Thursday, May 14, 2009

Kubu Umno di Johor semakin retak!

KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Umno kini hanya mampu berkubu di Johor bagi meneruskan kelangsungan politik di negara ini.Apabila kubu itu berjaya diroboh bermakna Umno akan lenyap di semenanjung.

Namun kini ternyata Umno tidak lagi kebal di Johor apabila Pakatan Rakyat berjaya bertapak kukuh pada pilihan raya umum lalu.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, perubahan pola politik di Johor semakin jelas sekarang apabila rakyat mulai sedar terhadap perkembangan politik negara.

"Dianggarkan tidak kurang rakyat 29 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen di Johor sudah menampakkan riak perubahan.

"Kawasan itu sedang menunggu untuk merubah lanskap politik khususnya dalam pilihan raya umum akan datang," katanya pada majlis mesra bersama sukarelawan Tabung Amanah Tok Kenali baru-baru ini.

Menurut beliau sebelum ini Johor terkenal sebagai 'Darul Umno', namun pada pilihan raya umum lalu beberapa kubu Umno sudah berjaya dirobohkan.

"Saya ada menerima maklumat daripada penyokong Pakatan Rakyat kaum India di Johor yang mengatakan PAS kini sudah berada di hadapan kerana berjaya memecahkan benteng pertahanan Umno di negeri itu," ujarnya.

Menurutnya rakyat di negara ini sudah melihat PAS dan Pakatan Rakyat semakin hampir menguasai politik negara.

Oleh itu beliau berharap anggota parti di semua peringkat perlu menggerakkan jentera bagi mendekati masyarakat khususnya golongan bukan Melayu.

Pada majlis itu beliau berharap sukarelawan Tok Kenali melaksanakan tanggung jawab melaksanakan tugas dengan sistematik bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Kata beliau, Presiden Barrak Obama memenangi pilihan raya Amerika tahun lepas hasil usaha sukarelawan yang turun ke bawah sewaktu kempen pilihan raya.

"Untuk itu saya mencadangkan sukarelawan kita turun ke bawah bersama masyarakat dengan mengedarkan risalah kepada rakyat," ujarnya.

Hadir sama pada majlis itu Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani dan Timbalannya, Rosli Abdullah serta 200 sukarelawan. - mks. _

Salmah Mat Husain

Read more...

Thursday, April 23, 2009

Rakyat mahu perubahan,bukan lawatan mengejut!

KUALA LUMPUR, 24 April (Hrkh) -Transformasi yang cuba dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam memperkukuhkan pentadbiran barunya hanya dilihat sebagai satu kosmetik semata-mata.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub apa yang berlaku adalah segala yang digalaskan di bahunya kini sarat dengan bebanan yang ditinggalkan bosnya dahulu.

"Bagi saya apa yang Najib buat itu bukan dalam satu konteks perubahan ataupun soal yang dinanti-nanti dan diharapkan rakyat,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Mengulas mengenai lawatan Najib ke Perumahan Vista Angkasa, Kampung Kerinci dan tempat tumpuan orang ramai di Jalan Petaling selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Salahuddin menganggap ia sebagai bukan satu pembaharuan.

"Itu bukan satu perubahan. Itu cuma beberapa program mengejut yang melibatkan hanya aktiviti harian seorang menteri.

"Apa yang rakyat hendak visi dan gagasan besar Najib yang rakyat mahu melihat satu perubahan untuk kepentingan negara dalam skala yang lebih besar,"jelasnya lagi.

Tambahnya, rakyat mahu misalnya, melihat agenda memerangi rasuah dan agenda menaik taraf kehidupan rakyat termiskin dalam negara ini.

"Rakyat mahu melihat satu bentuk agihan sistem ekonomi yang lebih adil dengan melihat bagaimana gagasan kerajaan dalam menghadapi masalah perpaduan negara.

"Itu sebenarnya gagasan-gagasan yang rakyat tunggu. Bukan sekadar lawatan-lawatan mengejut begitu sahaja,"tegasnya. - mks.

source ~ Harakahdaily

Read more...

Friday, March 27, 2009

Boikot akhbar pro-Umno 3 bulan - Nik Aziz

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 27 Mac (Hrkh) - Tindakan terbaru kerajaan Barisan Nasional (BN) menggantung permit akhbar oposisi dianggap sebagai tindakan jahat dan takut kepada kebenaran terbongkar.

Malah bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tindakan Kementerian Dalam Negeri (DKN) itu tidak sekali-kali menghalang rakyat bagi mendapatkan maklumat yang kini berada di hujung jari.

"Sumber maklumat sekarang sudah banyak seperti internet, blog, telefon, SMS dan sebagainya yang ternyata lebih berkesan dan cepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mr Ashok K. Kantha di pejabatnya baru-baru ini.

Petang Isnin lalu KDN menggantung permit kedua-dua akhbar oposisi yang berpengaruh di negara ini iaitu Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebagai tindak balas terhadap tindakan KDN, rakyat di negara ini disaran tidak membeli akhbar harian yang didukungi Umno dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya tindakan KDN yang diterajui pemimpin Umno jelas mahu menyekat pengaruh Pakatan Rakyat yang semakin meluas sekarang.

"Kalau nak kata akhbar oposisi buat fitnah dan menghasut, kita tengok sekarang ramai juga ahli parlimen yang pernah ditahan ISA memenangi pilihan raya kerana sokongan rakyat.

"Macamana rakyat boleh mengundi dan memberi kepercayaan kepada mangsa tahanan ISA yang dianggap kerajaan boleh mengancam keselamatan negara. Jadi peranan akhbar oposisilah menjelaskan tomohan itu tidak benar sehingga pemimpin terbabit menang dalam pilihan raya," katanya.

Kata beliau tindakan menahan seseorang pemimpin politik ke dalam ISA bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara, sebaliknya mengancam kedudukan Umno sehingga makin hilang pengaruh.

"Saya yakin tindakan mereka bermotif politik ketika menjelang pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Dendam yang membuak dalam dada pemimpin Umno menyebabkan mereka bertindak di luar batasan. Tindak tanduk mereka seperti Israel yang dendam terhadap umat Islam," katanya.

Oleh itu beliau berkata, tindakan pemimpin Umno menyekat akhbar milik Pakatan Rakyat menyebabkan kebencian rakyat terhadap Umno dan BN semakin menjalar. - mks._

Sumber ~ Harakahdaily

Read more...

Sunday, March 15, 2009

Pelajar cemerlang SPM 2008 dapat rumah bernilai RM130,000 ~ Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 15 Mac (Hrkh) - Kejayaan pelajar cemerlang negara SPM 2008, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 dari Maahad Muhammadi Perempuan turut dikongsi bersama kerajaan negeri.

Beliau mendapat 20A (19A1, 1A2) dan menjadi kebangsaan kepada kerajaan negeri serta rakyat Kelantan.

Kejayaan itu merupakan rekod kedua di alaf baru apabila pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan muncul sebagai pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan.

Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2).

Hari ini anak nelayan dari Kampung Sabak dikunjungi Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, petang Khamis lalu telah dikunjungi anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar.Image

Sebagai menghargai kejayaan tersebut Menteri Besar menawarkan satu lot dan rumah kepada keluarga nelayan tersebut bagi membolehkannya tinggal dalam keadaan lebih selesa.

Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 juga dari Maahad Muhammadi Perempuan turut memperolehi keputusan cemerlang 17A.

Apa yang menggembirakan lot dan rumah bernilai RM130,000 sumbangan kerajaan negeri kepada keluarga cemerlang itu akan dibina Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Taman Perumahan Kurnia Jaya.

Menteri Besar ditemani Setiausaha Sulit Khasnya, Mohd Rusdi Abdullah mengunjungi rumah pelajar terbabit di Kampung Parang Punting, dekat Sabak.

Pada kunjungan tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada keluarga terbabit.

Bercakap kepada pemberita selepas itu Menteri Besar mengalu-alukan pihak luar yang berhajat untuk membantu keluarga terbabit khususnya Nik Nur Madihah.

Image "Tak kiralah siapapun berhajat untuk memberi bantuan, bantulah," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan pelajar cemerlang berkenaan melanjut pengajian ke Timur Tengah bagi membolehkan menguasai bahasa Arab dengan mudah dan cepat.

Sementara itu, ibu Nik Nur Madihah, Noraini Omar, 42 mengucap terima kasih kepada kerajaan negeri yang bersedia menawarkan lot dan rumah baru kepada mereka.

Katanya, walaupun anak sulung itu pernah berazam untuk membeli rumah bagi keperluan keluarga apabila bekerja nanti, namun Allah telah mengurniakannya lebih awal hasil kecemerlangannya.

"Terima kasih banyak-banyak, saya tak tahu apa nak diucapkan lagi, ini pun dah banyak sumbangan yang diberikan," ujarnya. - mj _

Sumber ~ Harakahdaily

Read more...

Thursday, March 12, 2009

Krisis ekonomi dapat diatasi jika kerajaan BN ditukar - Husam

JAKARTA, 12 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berpendapat hanya pemulihan politik sahaja yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi yang melanda negara.

"Pada pendapat saya pilihan yang lebih tepat ialah dengan pertukaran kerajaan, hanya pertukaran kerajaan sahaja yang akan dapat menyelesaikan masalah ekonomi kita," tegas beliau.

Menurut Husam, krisis ekonomi Malaysia, termasuk dengan keengganan pelabur asing memasuki pasaran negara adalah ialah kerana mereka tidak yakin dengan parti yang memerintah.

Kata, pakej stimulus sebanyak RM60 billion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Raza tidak disambut baik oleh pasaran saham.

"Bukti yang jelas apabila hari ini Najib buat stimulus esok Bursa Malaysia jatuh," katanya.

Husam yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan, tiba di Indonesia tengahari tadi, untuk lawatan kerja dan memenuhi undangan menyampaikan ceramah umum di Universiti Muhammadiah Sukarta dan Universiti Islam Antarabangsa Sunan Kalijagat di Yogjakarta selama tiga hari.

Husam berpendapat, pakej ransangan ekonomi yang diumum Najib akan menemui kegagalan berdasarkan kegagalan beberapa koridor ekonomi yang dilancarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mampu memulihkan ekonomi negara.

"PM Abdullah umumkan beberapa koridor dengan peruntukan beratus billion pun tidak jalan, saya tidak nampak bagaimana stimulus ini boleh membantu memulihkan ekonomi," ujar beliau.

Katanya, apa yang dibentang Najib hanyalah bermotifkan politik kerana ianya adalah pakej untuk membiayai kempen Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke 13.

"Dalam bahasa politik stimulus pakej ini ialah ransangan untuk PRU ke 13, sebab itu ia dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Husam yang juga ahli ekonomi menegaskan bahawa pemulihan ekonomi bukan hanhya berdasarkan kepada angka-angka sahaja, tetapi harus ditentukan apakah penyakit yang sebenar dan mencari formula yang sesuai untuk mengubatinya.

Tegas beliau, pertambahan peruntukan sebesar RM60 billion tidak akan dapat menyelesaikan masalah, kerana negara terbelengu dengan masalah rasuah, ketirisan dan kebocoran sistem penyaluran ekonomi yang menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Katanya, untuk menampung peruntukan besar itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan bon dan bebanan hutang menyebabkan tahap penarafan negara lebih rendah.

"Koridor ekonomi, stimulus pakej ini tiada impak dan gagal memulihkan sokongan rakyat kepada BN.

"Pada pendapat saya pilihan yang lebih tepat ialah dengan pertukaran kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat, dengan ini banyak masalah negara dapat diselesaikan kerana rakyat sudah tidak mempercayai pemimpin Umno-BN lagi," tegas beliau._

Mohd Rashidi Hassan

Sumber ~ Harakahdaily

Read more...

Monday, March 2, 2009

Sidang tergempar DUN di bawah pokok, Nizar mendapat undi percaya ~ Ref Harakahdaily

IPOH, 3 Mac (Hrkh) - Sidang tergempar DUN telah diadakan di bawah sepohon pokok berdekatan tempat letak kereta di depan Bangunan Perak Darul Ridzuan setelah kesemua wakil rakyat Pakatan Rakyat dan Speaker tidak dibenarkan masuk pagi tadi.

Sidang itu dikendalikan dan dipengerusikan sendiri oleh Speaker DUN V Sivakumar dan meminta orang ramai yang hadir meyaksikan 'acara penuh sejarah' itu agar tidak menepuk tangan ataupun memberi sorakan. Siva meminta mereka yang dianggarkan kira-kira 300 orang supaya menghormati sidang DUN itu.

Ia diadakan di bawah sepohon pokok, dan semua 27 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin hadir dengan dipengerusikan oleh Speaker yang berpakaian rasmi. Tiada kerusi untuk semua 28 ahli DUN tersebut.

Pintu masuk ke bangunan tersebut ditutup dan dikawal oleh kira-kira 100 anggota polis, yang turut mengadakan sekatan jalanraya menuju ke situ.

Kira-kira jam 10.20 pagi usul pertama yang dibentangkan bahawa menyatakan undi percaya kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah diluluskan dengan sebulat suara. - azm _

Read more...

Sunday, March 1, 2009

Sasterawan Negara: Ajar Pemimpin UMNO di peti undi

Harakahdaily | 1 Mac 2009

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Hrkh) -Rakyat disaran menggunakan ‘bahasa undi’ untuk mengajar pimpinan Melayu yang ‘membunuh’ bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.

Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di pekarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

“Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.

“Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu ‘bahasa undi’ (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu,” tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

“Dia (Umno) selalu memperkecilkan angkatan (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.

“Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa,” ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu jenayah kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.

Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara membunuh bahasa dan bangsa sendiri.

“Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.

“Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

“Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya,”jelasnya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.

“Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

“Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan hassan Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI.

Read more...

Wednesday, February 25, 2009

Isu kereta dan lembu: Sultan Selangor terima penjelasan MB

Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Hrkh) - "Tiada bantahan menggunakan kereta peribadi...lembu korban sebagai usaha kebajikan."

Demikian kenyataan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung titah pendirian Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepadanya semalam.

Menurut Khalid, baginda Sultan Selangor tidak mempunyai halangan dan membantah penggunaan kenderaan peribadi sebagai kenderaan rasmi asalkan segala prosedur undang-undang dipatuhi.

"Tuanku Sultan Selangor telah menyatakan pendirian untuk tidak membantah penggunaan kereta peribadi sebagai kenderaan rasmi jika semua prosedur dipatuhi.

"Berkenaan isu derma lembu korban pula,Tuanku Sultan tiadak ada apa-apa halangan terhadap usaha sedekah,malah menggalakkan segala usaha kebajikan ini diteruskan dan dipanjangkan kepada kawasan Kuala Lumpur termasuk Bandar Tun Razak,"jelas Khalid dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily lewat malam tadi.

Tambahnya, baginda bertitah demikian sewaktu beliau mengadap Tuanku Sultan semalam di Istana Mestika,Shah Alam untuk memberikan taklimat tentang hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri termasuk mengenai segala tohmahan mengenai derma lembu korban dan tuntutan penyelenggaraan kereta persendirian.

Sementara itu, Khalid yang turut mengulas isu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memaklumkan kepada Harakahdaily bahawa, beliau akan menulis surat kepada suruhanjaya tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan Pengerusinya baru-baru ini.

Selain itu tambahnya, "satu proses undang-undang akan diambil terhadap Pengerusi Gerak atas segala tohmahan salahguna kuasa seperti yang disiarkan dalam media sebelum ini."

"Setiap keputusan kerajaan negeri adalah berlandaskan undang-undang dan mengutamakan kepentingan rakyat secara keseluruhannya,"tegasnya. - mks.

sumber - Harakahdaily

Read more...

Saturday, January 31, 2009

Adun Bota diraikan 50,000 rakyat

Ekmal Yusof

PARIT, 1 Feb (Hrkh) - Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim yang baru berhijrah dari Umno/BN ke pangkuan Pakatan Rakyat diraikan oleh kehadiran 50,000 orang rakyat ketika berceramah di Stadium Mini Bota Kanan di sini semalam.

Beliau bersama isterinya dengan wajah gembira disambut kehadirannya oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya rakyat Bota serta ahli Pakatan Rakyat yang membanjiri seluruh tapak padang di stadium tersebut, meraikan kemunculan julung kalinya berceramah dalam Parti Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa kemasukkanya ke dalam Pakatan Rakyat bukan disebut "melompat" tetapi lebih wajar dipanggil "hijrah" ke dalam Pakatan Rakyat.

"Sebab, kalau disebut "melompat" itu seolah-olah saya dengan tiba-tiba sahaja tanpa berfikir panjang terus terjun ke dalam Pakatan Rakyat. Tetapi lebih manis diibaratkan perbuatan saya ini

sebagai berhijrah kerana ia bermaksud, dari tempat kucar-kacir masuk ke parti yang disenangi iaitu Pakatan Rakyat Perak," katanya.

Pada ceramah malam tersebut, beliau mengulangi bahawa kemasukkan ke dalam Pakatan Rakyat adalah dengan rela hati, tidak ada paksaan sesiapa serta jauh sekali menerima sebarang tawaran dari Pakatan Rakyat seperti didakwa oleh pihak Umno/BN.

"Tuan-tuan jangan sekali-kali percaya dengan tomohan dan fitnah dilemparkan oleh Umno/BN yang kononnya saya dapat ganjaran atas kemasukkan saya ke dalam Pakatan Rakyat. Segalanya itu adalah bohong belaka dan cuma rekaan mereka kerana sakit hati," tegas Nasaruddin di depan 50,000 orang hadirin.

Tegasnya, beliau membantah sekeras-kerasnya dan menolak dakwaan Umno/BN bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan atau mengkhianati sesiapa pun sebab apa yang dilakukan adalah dengan cara rasional dan relavan.

Tindakan tersebut katanya, telah difikirkan semasak-masak beberapa bulan lalu, berbicang sesama keluarga, isteri dan anak-anak dan akhirnya dapatlah kesimpulan muktamad yang paling baik iaitu berhijrah menyertai Pakatan Rakyat.

"Sebabnya, saya fakir tuan-tuan pun tentu telah tahu bagaimana keadaan pimpinan kerajaan Umno/BN sejak dahulu hingga sekarang, tidak perlu dinyatakan lagi hanya dapat dijelaskan dengan mudah seperti kata pepatah, �Kalau tidak apa-apa tak mungkin burung tempua bersarang rendah," jelas Nasaruddin disambut tepukan gemuruh hadirin. - mns_

Read more...

Friday, January 30, 2009

Dr Mariah desak Mykmu.net mohon maaf secara terbuka

Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood mengutuk keras sikap dan perbuatan penulis Jamilisa yang menyebarkan fitnah dalam laman web Mykmu.net terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali yang kononnya ditangkap berkhalwat.

Beliau menegaskan perbuatan Jamilisa yang tersebar dalam ruangan forum politik Malaysia pada 25 Januari lalu telah menjatuhkan maruah pimpinan wanita Islam.

Katanya, itu perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan penulis tersebut wajar meminta maaf kepada Dr Halimah, suami, keluarga dan pihak PAS.

"Bagi kami pimpinan wanita PAS ini merupakan satu perkara yang sukar untuk dimaafkan kerana melibatkan maruah diri, keluarga dan perjuangan PAS," tegasnya.

Katanya, walaupun Jamilisa telah meminta maaf seperti yang disiarkan dalam Imagelaman web Mykmu.net tetapi itu tidak memadai kerana fitnah tersebut melibatkan maruah seorang isteri, ibu dan wakil rakyat.

Beliau mendesak laman web tersebut meminta maaf secara terbuka dan berjumpa sendiri dengan Dr Halimah, suami serta wakil PAS.

"Tuduhan ini bukan satu perkara yang main-main kerana ia melibatkan kredibiliti di mana selama ini akhlak Dr Halimah tidak pernah tercalar walaupun sedikit," tegas beliau.

Beliau memetik maksud surah An-Nur ayat 4 di mana Allah melarang menuduh wanita yang baik berzina.

Ayat itu bermaksud; "Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina dan tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah mereka yang menuduh itu dengan 80 kali deraan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik."

Dr Mariah yang juga AJK PAS Pusat berharap Dr Halimah akan meneruskan tindakan saman malu bagi memberi pengajaran terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah.

"Dr Halimah ada bersama dengan saya dalam Forum Keluarga Bahagia Masyarakat Penyayang di Dewan Orang Ramai Bukit Kuching, Kuala Selangor pada malam 25 Januari lalu," jelasnya. - lanh _




Read more...

Wednesday, January 7, 2009

Boikot barangan Amerika,Israel besar-besaran


KUALA LUMPUR, 7 Jan (Hrkh) - Sebagai tanda bantahan dan kecaman terhadap Israel, Lajnah Dakwah dan Pembela Islam, Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan kempen boikot produk Amerika dan jaringan Israel secara besar-besaran.

Menurut pengerusi lajnah tersebut, Ustaz Riduan Mohd Nor, kempen tersebut akan dilancarkan pada 9 Januari ini di setiap peringkat Dewan Pemuda PAS negeri.

Katanya, sepanjang kempen tersebut, poster serta risalah akan diedarkan sepanjang kempen tersebut bagi mengajak masyarakat khusunya umat Islam bagi memboikot produk jaringan Israel.

Jelas Riduan, antara produk jaringan Israel yang perlu di pulaukan oleh umat masyarakat ialah barangan keluaran Mark and Spencer, Loreal, pasar raya Tesco, restoran makanan segera McDonalds dan KFC dan Nestle.

"Pemuda Pusat menyahut seruan gerakan Islam sedunia untuk memboikot produk-produk ini. Setiap sen yang kita belanjakan, seolah-olah untuk membunuh saudara kita di Palestin. Sepanjang kempen tersebut, kita akan memupuk kesadaran kepada umat Islam akan betapa pentingnya kita memboikot daripada membeli barangan tersebut.

"Boikot ini pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah terhadap orang Yahudi. Sebagai contoh Telaga Ruumah (Bir Ruumah) yang dimiliki oleh Yahudi, telah diboikot oleh umat Islam di Madinah. Begitu juga dengan pasar-pasar Yahudi yang diboikot di Madinah. Ini kerana berlaku penipuan yang dilakukan terhadap orang Islam,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu katanya, Lajnah Dakwah dan Pembela Islam turut mengecam sikap kerajaan Mesir yang telah mengkhianati orang Islam di Palestin sejak sekian lama dan antara punca serangan disebabkan mendapat sokongan daripada Mesir.

Jelas Riduan lagi, berdasarkan pengalamannya yang berada di United Kingdom beberapa hari yang lalu, demonstrasi bantahan dijalankan setiap hari serta kempen boikot produk Israel dan Amerika diadakan secara besar-besaran bagi membela nasib umat di Palestin. - mks._

Sumber - Harakah Daily


Read more...

Sunday, December 21, 2008

PPSMI, ugutan ke atas Hishammuddin mesti berterusan ~ Ref Harakahdaily

Prof Dr Abu Bakar Abdul Hamid terdiam sebentar sejurus mendengar lafaz Dr Abdul Latiff Abu Bakar pada 19 Disember lalu di dalam forum anjuran Pusat Dialog Peradaban dan Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi) itu.

Dr Abdul Latiff, mungkin oleh kerana terlalu lama memendam rasa, beliau mengeluarkan segala yang terbuku di hatinya selama ini. Suasana menjadi tenang untuk seketika. Maka, cabaran Pena yang meminta supaya Gapena menjelaskan pendiriannya berhubung PPSMI ini telah pun selesai untuk pusingan pertama. Hadirin semakin jelas dan faham.

Hanya tinggal beberapa persoalan lagi yang masih berlegar di fikiran para peserta forum itu. Walaupun jumlah hadirin sekitar 40 orang, namun jumlah yang kecil ini bukan suatu hal yang boleh dipermain-mainkan.

Setidak-tidaknya sudah ada saling cabar-mencabar antara Gapena dan Kumpulan Prihatin yang disifatkan sebagai pertubuhan yang longgar kerana tak didaftarkan secara sah. Tapi, inti semangat perjuangan Kumpulan Prihatin tak boleh dipandang rendah kerana landasan wadah ini menempatkan golongan cendekiawan universiti.

"Untuk pengetahuan semua," dalam nada suaranya yang rendah Dr Abu Bakar menyebut, "ada sebuah persatuan muda yang masih bergiat cergas dalam urusan membantah PPSMI ini. Nama persatuan itu ialah PKPIM."

"Tempoh hari, mereka ada buat program di Kuantan. Malangnya, saya seorang saja yang hadir dari Kuala Lumpur.

"Mereka juga ada membuat bantahan di internet tentang PPSMI ini. Jadi, saudara semua boleh war-warkan kepada semua orang agar sejuta tandatangan boleh dihimpunkan," kata beliau lagi.

"Boleh ulang sekali lagi laman web tu?" Dato' Dr Firdaus Abdullah mencelah dari bawah pentas forum. Dia kelihatan sedang mencatatkan sesuatu.

"http://www.pkpim.net," ujar Dr Abu Bakar dengan ringkas.

"Saya tak tahu pun tentang perjumpaan di Kuantan itu," Dr Abdul Latiff menoleh ke arah Prof Abu Bakar Abdul Hamid. "Kalau saya tahu, saya pun akan pergi.."

Bantahan di Putrajaya
16 Disember lalu persidangan meja bulat mengenai PPSMI dilakukan antara Timbalan Menteri Pelajaran Dato' Dr Wee Ka Siong bersama pertubuhan pelajar itu.

Seperti biasa, Dr Wee Ka Siong berkata bahawa hasil persidangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ayat-ayat klise yang diberikan ini tentunya memenatkan. Tapi, hanya itulah yang mampu dilakukan buat sementara ini. Tetapi, ada sedikit ketegasan oleh Naib Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz.

"Kami dengan tegas, terus membantah dasar PPSMI ini jika kerajaan memutuskan untuk meneruskan dasar ini pada masa akan datang," kata beliau selepas menyerahkan 'Petisyen Bantahan Terhadap PPSMI' kepada Dr Wee Ka Siong di Putrajaya.

Bantahan itu, menurutnya, telah berjaya mengumpulkan hampir 1,000 tandatangan dalam tempoh 14 hari dalam kalangan mahasiswa seluruh negara dan ibu bapa di kawasan luar bandar.

Demi menyelamatkan nasib bahasa Melayu, katanya, PKPIM akan terus berusaha dengan menggunakan segala saluran yang ada sebagai langkah bagi memastikan agar kedudukan Bahasa Melayu dihormati semua pihak.

Ugutan pertubuhan pelajar
"Kami sebagai wadah gerakan pelajar tidak teragak-agak melangkah lebih jauh sekiranya suara kami tidak didengari kerana kami sudah bersedia ke arah itu," kata beliau.

Cara Dr Abdul Latiff agak kemas dan bernada serius apabila beliau menyebutkan tarikh 15 Mac sebagai tanda amaran kepada Menteri Pelajaran Hishammuddin Tun Hussein.

Hanya, anjakan tarikh itu sepatutnya diawalkan dan janganlah terlalu dekat kepada tarikh Perhimpunan Agung Umno. Bukankah ugutan ini berasal daripada ahli akademik? Tidak perlulah diambil perhitungan sangat dengan tarikh yang ada kaitan dengan politik.

Selepas tarikh itu, kata Dr Abdul Latiff, beliau dan rakan-rakannya akan meminta menteri meletak jawatan. Jika ugutan, maka sebaik-baiknya 40 hari atau sebulan saja. Tiga bulan itu, akan menyebabkan menteri pelajaran tidak terasa sangat kesan ugutannya.

Namun, ugutan PKPIM itu tidak disertakan pula dengan tarikh ajal kepada Hishammudin itu. Apa-apa pun.. sekalung tahniah dan penghargaan dilafazkan kerana persatuan pelajar itu telah cuba melakukan segala yang terbaik setakat ini.

"Kesan dasar ini tidak dirasai pemimpin hari ini, sebaliknya bebanannya tanggung oleh generasi masa hadapan. Maka, perjuangan ini adalah tanggungjawab yang wajib digalas seluruh anak muda yang sayangkan masa depan identiti rakyat dan Malaysia.

"PKPIM turut memandang tinggi kepada ketegasan beberapa badan bukan kerajaan lain yang konsisten membantah dasar ini seperti Kumpulan Prihatin, Pena, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Dong Jiao Zong, dan sebagainya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Fazsal berkata, PKPIM akan terus memberikan sokongan ke atas usaha mana-mana pemimpin yang konsisten memperjuang nasib bahasa Melayu.

http://bmppsmi.blogspot.com

Read more...

Monday, December 15, 2008

Pembangkang sokong SPRM dengan syarat ~ Ref Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Hrkh) - Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, pembangkang akan memberikan sokongan penuh terhadap akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 (SPRM) dengan syarat perubahan dan penyesuaian penting dilakukan terhadap beberapa peruntukan dalam akta itu.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, akta baru itu tidak akan menyelesaikan masalah rasuah yang berleluasa dalam negara ini.

Kata beliau, pengenalan undang-undang itu terlalu sukar kerana melalui pengalamannya terlibat dengan penggubalan Akta Pencegahan Rasuah 1997, beberapa peruntukan gagal diperkenalkan kerana mendapat halangan daripada beberapa pemimpin.

"Saya lebih mirip untuk mendokong banyak peruntukan ini kerana secara kebetulan, saya terlibat secara langsung mengawasi dan membentang Akta Pencegahan Rasuah pada tahun 1997 yang begitu sukar dan kontroversi kerana tidak mendapat cukup sokongan dari rakan-rakan pada ketika itu," kata beliau ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang SPRM 2008 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, salah satu peruntukan yang harus dipinda dalam akta SPRM adalah penglibatan Jabatan Peguam Negara dalam proses pendakwaan di bawah Fasal 58, Bahagian 7 yang menyatakan pendakwaan sesuatu kesalahan tidak boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya.

"Menteri memberi penjelasan di dalam dan luar Dewan dengan meluahkan sebahagian kuasa memutuskan sebahagian pendakwaan kepada Peguam Negara, mengharapkan ada keupayaan untuk menyemak dan menghalang keterlanjuran pihak suruhanjaya.

"Bagaimanapun, kita harus ingat bahawa Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara terlalu terselaput dengan terlalu banyak tuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Apatah lagi sekarang ini, Peguam Negara sendiri sedang menunggu pendakwaan terhadapnya. Saya difahamkan dengan maklumat yang cukup kuat bahawa BPR (Badan Pencegah Rasuah) telah pun mengemukakan laporan, menunggu sahaja keputusan untuk mendakwa yang tertangguh lama sebab ia melibatkan Peguam Negara," katanya.

Anwar berkata, kuasa penglibatan Peguam Negara dalam SPRM yang lebih 'kuat' daripada BPR ini menunjukkan integriti suruhanjaya ini masih terperangkap dengan kegagalan kerajaan membersihkan institusi pemerintahan pentadbiran.

Tegas beliau lagi, terdapat kes yang dibawa oleh BPR kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini ditutup begitu sahaja walaupun mempunyai bukti yang mencukupi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membacakan rang undang-undang SPRM buat kali kedua.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan keupayaan BPR sedia ada dengan menambah 5,000 anggota dalam tempoh lima tahun bagi membantu BPR mempercepat proses penyiasatan dan memberi perkhidmatan pencegahan rasuah yang lebih baik kepada masyarakat. - mns_

Sumber - Harakahdaily

Read more...

Wednesday, October 8, 2008

Parlimen Marang kekal milik Presiden PAS -ref malaysiakini

KUALA TERENGGANU, 9 Okt (Hrkh) - 'PAS Menang Lagi' begitulah ungkapan yang dapat dinyatakan apabila keputusan Hakim Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, Dato' Kang Hwee Gee membuat keputusan menolak petisyen tersebut.







Justeru itu, Parlimen Marang masih kekal milik Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang apabila Mahkamah Pilihan Raya memutuskan untuk menolak dengan kos petisyen yang difailkan calon Barisan Nasional (BN), Dato' Dr Ahmad Ramzi Zubir pada 28 April lalu.

Setelah meneliti kesemua hujah yang dikemukakan oleh pihak pempetisyen dan responden, hakim berkenaan ketika membacakan keputusan penghakiman bahawa pempetisyen gagal mengemukakan bukti berhubung salah laku penyokong PAS di parlimen tersebut pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Pasukan peguam responden diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong dan Pempetisyen diwakili lima peguam yang diketuai oleh Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Dato' Wan Abdul Mutalib berkata keputusan bantahan awal yang dikemukakan oleh PAS terhadap petisyen yang dibuat oleh Umno diterima pihak mahkamah.

"Keputusan di atas bantahan awal kita (PAS) di atas ketidaksempurnaan petisyen yang dibuat oleh Umno-Barisan Nasional dalam dua kes di Parlimen Marang dan Rhu Rendang diterima mahkamah.

"Oleh kerana, Rhu Rendang itu berada dalam kawasan Parlimen Marang maka kes itu disekalikan pendengarannya," jelas Dato' Wan Abdul Mutalib.

Katanya, fakta yang dikemukakan dalam petisyen hampir sama, tinggal lagi parlimen itu mencakupi dua lagi insiden di luar daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang.

Menurutnya, insiden tersebut berlaku di Sekolah Bukit Sawa kemudian di depan markas PAS Seberang Marang dan di depan Sekolah Menengah Marang termasuk peristiwa penahanam bas di lokasi dekat Masjid Marang.

Katanya, mahkamah mendapati bahawa pihak pempetisyen gagal membuktikan kejadian yang berlaku itu dilakukan oleh calon atau agen calon.

Dato' Wan Abdul Mutalib berkata hujah pempetisyen berhubung anak lelaki Presiden PAS iaitu Mohd Khalil sebagai responden pertama dan penyokongnya yang memakai jaket PAS ketika kejadian tersebut tidak memadai bahawa perbuatan tersebut dilakukan dalam pengetahuan atau agennya.

"Pempetisyen juga gagal menyediakan fakta bahawa individu berkenaan adalah agen kepada responden pertama," ujarnya.

Bahkan, katanya mahkamah mendapati PAS berjaya mengemukakan bukti mencukupi untuk menolak petisyen yang difailkan calon Umno-BN itu. - mks. _

sumber : harakahdaily

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP