Krisis ekonomi dapat diatasi jika kerajaan BN ditukar - Husam
JAKARTA, 12 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berpendapat hanya pemulihan politik sahaja yang dapat menyelesaikan masalah ekonomi yang melanda negara.
"Pada pendapat saya pilihan yang lebih tepat ialah dengan pertukaran kerajaan, hanya pertukaran kerajaan sahaja yang akan dapat menyelesaikan masalah ekonomi kita," tegas beliau.
Menurut Husam, krisis ekonomi Malaysia, termasuk dengan keengganan pelabur asing memasuki pasaran negara adalah ialah kerana mereka tidak yakin dengan parti yang memerintah.
Kata, pakej stimulus sebanyak RM60 billion yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Raza tidak disambut baik oleh pasaran saham.
"Bukti yang jelas apabila hari ini Najib buat stimulus esok Bursa Malaysia jatuh," katanya.
Husam yang juga Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri Kelantan, tiba di Indonesia tengahari tadi, untuk lawatan kerja dan memenuhi undangan menyampaikan ceramah umum di Universiti Muhammadiah Sukarta dan Universiti Islam Antarabangsa Sunan Kalijagat di Yogjakarta selama tiga hari.
Husam berpendapat, pakej ransangan ekonomi yang diumum Najib akan menemui kegagalan berdasarkan kegagalan beberapa koridor ekonomi yang dilancarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mampu memulihkan ekonomi negara.
"PM Abdullah umumkan beberapa koridor dengan peruntukan beratus billion pun tidak jalan, saya tidak nampak bagaimana stimulus ini boleh membantu memulihkan ekonomi," ujar beliau.
Katanya, apa yang dibentang Najib hanyalah bermotifkan politik kerana ianya adalah pakej untuk membiayai kempen Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke 13.
"Dalam bahasa politik stimulus pakej ini ialah ransangan untuk PRU ke 13, sebab itu ia dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Husam yang juga ahli ekonomi menegaskan bahawa pemulihan ekonomi bukan hanhya berdasarkan kepada angka-angka sahaja, tetapi harus ditentukan apakah penyakit yang sebenar dan mencari formula yang sesuai untuk mengubatinya.
Tegas beliau, pertambahan peruntukan sebesar RM60 billion tidak akan dapat menyelesaikan masalah, kerana negara terbelengu dengan masalah rasuah, ketirisan dan kebocoran sistem penyaluran ekonomi yang menguntungkan pihak tertentu sahaja.
Katanya, untuk menampung peruntukan besar itu, kerajaan terpaksa mengeluarkan bon dan bebanan hutang menyebabkan tahap penarafan negara lebih rendah.
"Koridor ekonomi, stimulus pakej ini tiada impak dan gagal memulihkan sokongan rakyat kepada BN.
"Pada pendapat saya pilihan yang lebih tepat ialah dengan pertukaran kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat, dengan ini banyak masalah negara dapat diselesaikan kerana rakyat sudah tidak mempercayai pemimpin Umno-BN lagi," tegas beliau._
Mohd Rashidi Hassan
Sumber ~ Harakahdaily
0 comments:
Post a Comment