Monday, March 9, 2009

Anwar di Mahkamah Sesyen, kes liwat disebut semula pagi ini

Sumber - mStar

KUALA LUMPUR:
Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diputuskan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi minggu lalu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen pagi ini.

Anwar tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira 10.10 pagi tadi bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mahkamah Sesyen juga akan memutuskan tarikh perbicaraan bagi kes Ketua Umum Pakatan Rakyat itu yang menjadi perhatian sejak tujuh bulan lalu.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan kes tersebut dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen 7 November lalu yang menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut.

Dalam penghakimannya, Mohamad Zabidin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam membuat keputusan itu sebelum ini dengan memutuskan sijil pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai tidak sah.

Mohamad Zabidin berkata, Abdul Gani hanya menjalankan fungsi pentadbiran dengan menandatangani sijil tersebut dan bukan menjalankan fungsi penghakiman atau separa-penghakiman.

Anwar sebelum ini mempertikaikan kesahihan sijil pemindahan kes itu dengan alasan Abdul Gani tidak sepatutnya menandatanganinya kerana beliau sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berhubung dakwaannya yang Abdul Gani memalsukan keterangan dalam insiden "mata hitam" yang dialami Anwar 10 tahun lalu.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23 di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP