Tuesday, March 17, 2009

Ali dilarang bertanding ~ Ref Utusan

Saya akan buat kenyataan esok (hari ini) di Melaka. Saya kena sahkan dulu sebab saya sendiri pun tidak tengok televisyen jadi tidak boleh komen, malah khidmat pesanan ringkas (SMS) pun saya tak terima. Semuanya akan saya jawab esok (hari ini) – MOHD. ALI RUSTAM
Naib Presiden


KUALA LUMPUR 17 Mac – Hasrat Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk bertanding jawatan kedua tertinggi UMNO musnah apabila Lembaga Disiplin hari ini membuat keputusan melarang beliau bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Lembaga Disiplin parti itu mengumumkan, Mohd. Ali yang juga Naib Presiden UMNO dan salah seorang calon ‘pilihan’bagi jawatan itu bersalah di bawah Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO apabila tiga ejennya didapati bersalah mengamalkan politik wang.

Selain Mohd. Ali, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail turut mengumumkan, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bersalah di bawah perkara yang sama.

Bagaimanapun calon Ketua Pemuda UMNO itu hanya dikenakan tindakan amaran.

Seorang lagi calon Ketua Pemuda yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula didapati tidak bersalah atas dakwaan politik wang.

Pada sidang akhbar tersebut Lembaga Disiplin UMNO mengumumkan hasil siasatan 29 kes pemimpin dan ahli UMNO berhubung kes politik wang dengan 15 daripadanya didapati bersalah.

Turut bersalah dan digantung keahlian selama tiga tahun ialah Ketua Pemuda UMNO Sabah, Datuk Japlin Akin; Ketua Wanita UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Salmah Pin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Maran, Mohamad Najuib Mohamad Shahaimi

Ahmad Rithauddeen berkata, Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO adalah berkaitan anggapan kebersalahan jika ejen atau pelobi atau perayu kempen calon didapati bersalah dan ada fakta calon terbabit ada pengetahuan atau terlibat.

‘‘Jadi kesalahan itu adalah disebabkan ada sabit pekerja dia atau apa saja, yang buat salah, maka dia sebagai prinsipal juga akan dianggap bersalah. Tetap kesalahan itu tidaklah sama seperti yang dilakukan ejennya,’’ katanya di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, dalam kes Mohd. Ali, Lembaga Disiplin mendapati tiga ejen Ketua Menteri Melaka itu termasuk Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun didapati bersalah dalam politik wang.

Tambahnya, dua lagi ejen beliau ialah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Bukit Katil, Zalina Ismail.

Ketiga-tiga mereka dikenakan hukuman gantung keahlian selama tiga tahun.

Ahmad Ritahuddeen berkata, walaupun Mohd. Ali yang juga Naib Presiden UMNO telah diberi peluang memberikan penjelasan dalam soal siasat yang dijalankan, Lembaga Disiplin tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Beliau menjelaskan, Mohd. Ali hanya dilarang daripada bertanding pada pemilihan parti minggu depan tetapi keahliannya tidak digantung.

Ditanya kenapa hukuman yang tidak sama dikenakan ke atas Khairy walaupun didapati melakukan kesalahan di bawah Perkara 10.1, beliau berkata, hukuman tidak semestinya sama kerana tahap kesalahan yang berbeza.

Perbezaan itu juga katanya, adalah kerana pembuktian yang lemah terhadap restu calon kepada ejennya.

‘‘Hubungan ejen dengan Khairy juga tidak begitu jelas, bagaimanapun untuk melepaskannya begitu sahaja tidak boleh kerana terdapat sedikit bukti melibatkan beliau dengan kesalahan berkenaan,’’ ujarnya.

Ditanya aduan politik wang terhadap Ahli MT UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria yang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah, Ahmad Rithauddeen enggan mengulas kerana ia belum diputuskan oleh pihak berkenaan.

Mengenai calon-calon MT yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jelasnya, ia adalah perkara yang berasingan.

‘‘Asas kita adalah Tataetika Ahli UMNO sahaja. Kalau SPRM ia libatkan kesalahan jenayah. Jika kesalahan jenayah berlaku, ia tugas polis untuk siasat dan tentukan ada kes atau tidak, jika ada teruskan dengan pendakwaan,’’ ujarnya.

Menurutnya, pengumuman hukuman terhadap ahli UMNO yang terbabit dengan salah laku menjelang Perhimpunan Agung bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana ia juga pernah dilakukan sebelum ini.

‘‘Kita juga membuat keputusan sama pada pemilihan sebelum ini, mereka yang terbabit boleh membuat rayuan termasuk selepas pemilihan,” katanya.

Sumber ~ Utusan

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP