Dr Mariah desak Mykmu.net mohon maaf secara terbuka
Saidah Hairan | Foto Nasir Sudin
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) - Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmood mengutuk keras sikap dan perbuatan penulis Jamilisa yang menyebarkan fitnah dalam laman web Mykmu.net terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali yang kononnya ditangkap berkhalwat.
Beliau menegaskan perbuatan Jamilisa yang tersebar dalam ruangan forum politik Malaysia pada 25 Januari lalu telah menjatuhkan maruah pimpinan wanita Islam.
Katanya, itu perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan penulis tersebut wajar meminta maaf kepada Dr Halimah, suami, keluarga dan pihak PAS.
"Bagi kami pimpinan wanita PAS ini merupakan satu perkara yang sukar untuk dimaafkan kerana melibatkan maruah diri, keluarga dan perjuangan PAS," tegasnya.
Katanya, walaupun Jamilisa telah meminta maaf seperti yang disiarkan dalam laman web Mykmu.net tetapi itu tidak memadai kerana fitnah tersebut melibatkan maruah seorang isteri, ibu dan wakil rakyat.
Beliau mendesak laman web tersebut meminta maaf secara terbuka dan berjumpa sendiri dengan Dr Halimah, suami serta wakil PAS.
"Tuduhan ini bukan satu perkara yang main-main kerana ia melibatkan kredibiliti di mana selama ini akhlak Dr Halimah tidak pernah tercalar walaupun sedikit," tegas beliau.
Beliau memetik maksud surah An-Nur ayat 4 di mana Allah melarang menuduh wanita yang baik berzina.
Ayat itu bermaksud; "Dan orang-orang yang menuduh wanita yang baik berbuat zina dan tidak mendatangkan empat orang saksi maka deralah mereka yang menuduh itu dengan 80 kali deraan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang yang fasik."
Dr Mariah yang juga AJK PAS Pusat berharap Dr Halimah akan meneruskan tindakan saman malu bagi memberi pengajaran terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah.
"Dr Halimah ada bersama dengan saya dalam Forum Keluarga Bahagia Masyarakat Penyayang di Dewan Orang Ramai Bukit Kuching, Kuala Selangor pada malam 25 Januari lalu," jelasnya. - lanh _
0 comments:
Post a Comment