Monday, January 19, 2009

Pembangkang tubuh Majlis Menteri Besar

ALOR STAR 18 Jan. – Kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang hari ini bersetuju membentuk Majlis Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri bertujuan meningkatkan hubungan dan kerjasama sesama mereka.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, dikenali sebagai Pengisytiharan Mentaloon, majlis tersebut juga bertujuan menyelaraskan agenda, program dan aktiviti di kalangan negeri-negeri yang diterajui pakatan pembangkang.

“Perbincangan hari ini telah mencapai beberapa persetujuan berhubung apa perlu dibuat pakatan pembangkang bagi meningkatkan kerjasama dan mengemas kini beberapa kekurangan yang perlu diambil tindakan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menghadiri mesyuarat tersebut tidak menyertai sidang akhbar itu dan beliau diwakili Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

Azizan berkata, mesyuarat tersebut juga bersetuju untuk menubuhkan sekretariat bagi mengendalikan majlis berkenaan di samping penubuhan Majlis Exco Kerajaan-kerajaan Negeri pakatan pembangkang.

Sementara itu, Guan Eng berkata, majlis tersebut dibentuk kerana Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri pakatan pembangkang yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja sering didiskriminasikan.

sumber ~ Utusan

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP