Thursday, January 15, 2009

Pakatan Rakyat Komited Mansuh PPSMI!

Pagi tadi saya turut hadhir dalam majlis penyerahan memorandum bantahan pelan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) oleh tokoh akademia, Profesor Shaharir Md Zain kepada calon Pakatan Rakyat, Hj. Mohd Abd Wahid Endut.

Majlis tersebut turut dihadhiri Ustaz Hj Hadi, Sdr Azmin, Sdr Gobalakrisnan, Sdr Mustafa Ali, mantan Menteri di JPM Zaid Ibrahim dan juga bekas pimpinan Abim Dr. Sidek Baba.

Acapkali saya tekankan betapa mereka yang bertindak meneruskan hatta menyokong PPSMI adalah kalangan yang khianat kepada perjuangan melaku. Justeru bagaimana mereka yang tegar menyokong PPSMI diteruskan saban waktu mengaku pejuang melayu tulen? Mereka bisa menyinga dalam soal papan tanda di Pulau Pinang, tetapi terus menikus bila memperjuangkan bahasa melayu dalam sistem pendidikan. Aduhai!

Kesemua kesatuan guru seluruh Malaysia membantah, apa lagi indikator yang mahu digunapakai Umno-BN untuk mempertahankan PPSMI?

Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan berkompromi dalam soal perjuangan Bahasa. Pakatan kekal komited dengan agenda mengembalikan Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu tanpa mengabaikan sama sekali bahasa ibunda bangsa lainnya sesuai dengan tuntutan Perlembagaan. Ketiga-tiga kami termasuklah Ustaz Hadi dan Sdr Kit Siang sama-sama mempersetujui perkara ini untuk diletakkan sebagai agenda utama Pakatan Rakyat sebaik saja kita menawan kerajaan persekutuan.

InshaAllah, jika diumumkan sebagai Ahli Yang Berhormat bagi Kuala Terengganu Sabtu ini, Hj. Mohd Abd Wahid akan menggegar Parlimen dengan membahaskan memorandum ini di dalam Sidang Dewan!

Usai beberapa program kempen bersama pimpinan Pas sebelah petang, saya mengisi ruang selepas solat Maghrib untuk hadhir ke Restoran Ocean di kawasan DUN Bandar bagi program ramah mesra bersama masyarakat Tiong Hua setempat. Kehadhiran lebih 2000 orang dalam restoran yang berkapasiti 500 orang pastinya bukan petanda baik untuk kempen ugut-mengugut anjuran Umno-BN!

Alhamdulillah majlis turut dihadhiri Hj. Mohd Abd Wahid, YB Husam Musa, Sdr Zaid Ibrahim dan Raja Petra.

Dalam ucapan sebentar tadi saya tekankan mesej muafakat bersama Pakatan Rakyat untuk melindungi semua kaum. Isu yang diseleweng media arus perdana dijelaskan sebaiknya. Isu tanah di Perak misalnya, diserahkan kepada rakyat yang susah. Demikian juga keadaan di Selangor tatkala kerajaan negeri bertindak memberi tanah untuk melicinkan pembinaan sekolah agama rakyat, sekolah cina dan tamil.

Perlu ditekankan bahawa tidak ada keperluan untuk hudud diragui oleh mana-mana pihak, dalam keadaan ia jelas tertakluk kepada orang Islam semata-mata. Kita perlu halusi budaya menghormati tuntutan antara satu agama dengan satu agama lain. Perbezaan pendapat diakui wujud, tetapi itu bukan penghujung. Di sinilah lahirnya keharmonian dan perpaduan yang bertitik tolak dari konsep toleransi dan hormat-menghormati.

Berbeza dengan amalan Umno di mana MCA, MIC dan sekutu lainnya dipaksa mengikut telunjuk pimpinan rakus demi memuaskan tembolok masing-masing. Disuruh angguk, angguk, disuruh geleng, geleng.

ANWAR IBRAHIM


Sumber -AnwarIbrahimBlog

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP