Wednesday, January 7, 2009

Rahsia antara Rasulullah dan Puterinya sblm wafat...

Saidatina Fatimah binti Muhammad sangat terkenal dengan sifat kasih terhadap ayahnya iaitu rasul kita Nabi Muhammad S.A.W. Betapa kasihnya Rasulullah kepada baginda dapat kita ketahui melalui kisah ini.

Sewaktu mendengar berita bahawa Rasulullah S.A.W sakit, Saidatina Fatimah pergi menziarahi ayahnya. Sebaik sahaja Rasulullah melihat puteri kesayangannya, baginda mengucapkan,

" Selamat datang, puteriku."

Lalu Saidatina Fatimah pun masuk lalu memeluk dan mencium pipi Rasulullah yang sedang berbaring di atas katil. Baginda Rasulullah S.A.W pun membalas pelukan dan ciuman puterinya.

Sewaktu Rasulullah hampir wafat, Rasulullah memanggil puterinya ke sisinya. Rasulullah berbisik ke telinga puterinya itu sehingga berlinang air mata puterinya.

Setelah Rasulullah menyedari puterinya menangis, lalu Rasulullah membisikkan sekali lagi ke telinga puterinya sehinggakan Saidatina Fatimah ketawa.

Ketika itu, isteri Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah, pun tertanya-tanya apakah yang dibisikkan oleh Rasulullah S.A.W kepada puterinya Fatimah. Aisyah bertanya kepada Fatimah, " Wahai Fatimah, apakah yang dibisikkan oleh Rasulullah sehingga membuatmu menangis?" Kemudian, Fatimah menjawab, " Biarlah ianya menjadi rahsia antara ku dan Rasulullah."

Aisyah bertanya lagi, " Wahai Fatimah, apa yang dibisikkan oleh Rasulullah sehinggakan kamu ketawa?" Maka jawab Fatimah, "Biarlah ianya menjadi rahsia di antaraku dan Rasulullah."

Setelah wafatnya Rasulullah S.A.W, Aisyah tidak putus-putus ingin mengetahui apa yang dibisikkan oleh Rasulullah S.A.W kepada Fatimah. Lalu, bertanyalah lagi Saidatina Aisyah kepada Fatimah dan Fatimah menjawab, " Sebelum ayahku wafat, ayahku berbisik : Puteriku, tahun ini Malaikat Jibril turun dua kali untuk menyampaikan wahyu. Nampaknya wafatku sudah hampir. Aku menangis tatkala mengenangkan bahawa Nabi Allah akan wafat."

Maka Aisyah pun bertanya, "Wahai Fatimah, apa pula yang dibisikkan oleh Rasulullah sehingga kamu tertawa?" Maka jawablah puteri kesayangan Rasulullah, " Ayahku berbisik: Wahai puteriku, mengapa kamu menangis? Tidakkah kamu gembira menjadi ketua wanita-wanita mukmin di syurga nanti? Wahai puteriku, kamu adalah orang yang pertama akan menyusul selepas kewafatanku. Lalu aku pun tertawa kerana gembira dengan berita yang disampaikan Rasulullah."

Itulah kisah Rasulullah berbisik kepada puterinya, Saidatina Fatimah sebelum kewafatan baginda. Ada yang meriwayatkan Saidatina Fatimah adalah insan pertama wafat setelah kewafatan Rasulullah S.A.W.

Kisah ini ana ceritakan berdasarkan pembacaan ana dalam buku Kisah-Kisah Teladan Rasulullah terbitan Jasmin.


p/s: sedih mengenangkan pemergian nabi junjungan kita rasulullah S.A.W... Sad
Allahumma solli a'la Muhammad waa'la aalihi wasallam..

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP