Friday, September 26, 2008

Najib anggap keputusan MT 'bijaksana' ~ Malaysia Kini

Malaysiakini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan keputusan menunda tarikh perhimpunan agung Umno ke Mac tahun depan dan mengekalkan tarikh mesyuarat Umno bahagian sebagai keputusan yang bijaksana.

"Keputusan itu dibuat dengan penuh bijaksana selepas mendengar pandangan pemimpin dan ahli akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara hari ini.

Najib yang juga timbalan presiden Umno berkata tarikh sebenar perhimpunan agung itu akan diumumkan kemudian, demikian menurut laporan Bernama.

"Tarikh akan ditentukan dalam sedikit masa lagi tetapi yang pastinya ia akan berlaku bulan Mac," katanya.

Mesyuarat tergempar MT Umno hari ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat keputusan menunda tarikh perhimpunan agung parti yang sebelum ini dijadualkan pada Disember ini ke bulan Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Mesyuarat Umno bahagian dijadual dari 9 Oktober hingga 9 November.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP