Wednesday, October 8, 2008

Anwar tidak tunggu Pak Lah

KUALA LUMPUR - Rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan tetap akan diteruskan tidak mengira keputusan sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Presiden UMNO ataupun tidak.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau hanya menunggu keputusan yang akan dikeluarkan esok (hari ini).

“Rancangan mengambil alih kerajaan ini bukanlah bersifat peribadi terhadap Abdullah ataupun Najib.

“Najib mampu mendapat sokongan yang lebih dalam menguruskan ekonomi serta membersihkan negara ini daripada amalan rasuah dan salah urus ekonomi," jawabnya ketika ditanya mengenai peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri berikutan pengumuman Abdullah hari ini sama ada bertanding atau tidak jawatan Presiden sekaligus memberi laluan kepada timbalannya mengambil alih jawatan sebagai Presiden pada Mac depan.

Tambah Anwar, adalah penting pihaknya meneruskan gerakan reformasi dan melakukan perubahan kerana rakyat sudah tidak mempercayai pemerintahan di bawah Perdana Menteri yang ada hari ini.

“Pemimpin mestilah berwibawa dan kita bercerita tentang sistem yang dicemari amalan rasuah dan menyokong perbuatan jenayah," ujarnya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, semalam.

Ketika disoal mengenai tindakan Hindraf yang keterlaluan kebelakangan ini, Anwar menjawab, isu berkenaan dilaporkan oleh sebuah akhbar bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyentuh isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai zalim dan perlu diubah.

“Orang ditahan di bawah akta yang zalim kena dibebaskan. Jangan nak tukar (topik), makan anjing ke, makan beruk ke. Itu bukan soalnya.

“Orang zalim kena dibetulkan kesalahan mereka. Kalau orang Melayu beragama Islam tunjuk zalim kepada yang bukan Islam, mereka tidak layak memimpin negara ini," katanya.

Diambil dari Sinar

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP