ISU ZAKAT KEPADA NON MUSLIM: MUFTI PERLIS JAWAB!!!
salam, yg ni aku petik dari web mufti perlis. dh lama dah penulisan maza pasal isu zakat ni. """Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi. Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf. Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak. Bahkan ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka. Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar. Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam. Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Dr Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah. Jika hal ini dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam. Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka. Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan saudara baru yang sedia pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat. Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!. Sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam. Banyak perkara jika hendak bincangkan tentang kesan zakat jika ia berfungsi dengan baik. Amanah ALLAH kepada pengurusan zakat dalam ayat 60 Surah al-Taubah itu hendaklah dipandang berat. Firman ALLAH: (maksudnya) Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Wang zakat bukan milik pihak pengurusan. Sebaliknya amanah yang mesti diserah dengan jaya kepada yang berhak dan berfungsi dengan baik. Janganlah jadikan golongan yang berhak itu bagaikan peminta sedekah yang menagih simpati pengurusan zakat. Janganlah pula kereta para pegawai zakat sudah berulang tukar, sedangkan si miskin masih dengan rumahnya yang hampir roboh, anak yang sakit tidak berubat, yuran pengajian yang tidak mampu dibayar dan segala kesedihan yang lain. Janganlah pula si fakir terpaksa mencari tambang untuk datang ke pejabat zakat, sedang pegawai zakat hanya tersandar di kerusi cantik menunggu peminta datang. Jika zakat benar-benar berfungsi, tentulah nasib umat tidak sebegini. Namun hanya kepada ALLAH kita mengadu. Umat kehairanan. Mereka kadang kala bertanya: adakah pengurusan zakat hanya bijak mencari, tapi tidak bijak memberi dan membahagi. Saya tidak tujukan tulisan untuk semua pihak yang menguruskan zakat. Bagi yang telah menepati pengurusan yang baik, hal ini tiada kaitan dengan mereka. Jika yang belum, tulisan patut diberi perhatian. Jangan kita ini dibantah pada Hari Mahsyar. Biarlah ada yang membantah hari ini. Jika kita sudah menepati, al-hamdulillah. Jika belum kita masih berpeluang untuk membaikinya""" ---nah sekarang, ada sesiapa lagi yg lebih arif tentang perkara ni bagaikan dialah jaguh atau hero dalam arena politik??? sudahlah. anda semua masih belum ada ilmu utk bercakap tentang perkara ni(termasuk aku). nasihat aku, sebelum posting tu, lu orang pegilh belajar dulu. nnti kena gelak jek... sekadar renungan... Sumber TKO |
0 comments:
Post a Comment