Tuesday, October 21, 2008

Kekuatan Melayu tidak akan hilang


KUALA LUMPUR – Kekuatan dan kedaulatan Melayu tidak akan hilang walaupun di bawah pemerintahan kerajaan baru Pakatan Rakyat (PR) sekiranya peralihan kuasa yang dirancang menjadi kenyataan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Azmin Ali berkata, parti lain tidak pernah mempertikaikan tindakan negara dipimpin oleh seorang Melayu yang kuat agama dan akidahnya.

“Apa yang penting ialah keadilan dan kesaksamaan kepada bangsa lain tanpa meminggirkan mereka.

“Ini (kesaksamaan dan perkongsian kuasa) jelas sekali tidak berlaku di dalam UMNO di mana sebelum ini bangsa Melayu juga dipinggirkan walaupun kebanyakan portfolio kanan dipegang oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Lobi Parlimen di sini semalam.

Katanya, perkara ini jelas menunjukkan mengapa UMNO sendiri akhirnya ditolak oleh orang Melayu.

“Saya yakin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memerintah negara dengan memberikan keadilan yang sewajarnya bukan sahaja kepada Melayu tetapi kepada semua kaum di negara ini termasuk kaum-kaum di Sabah dan Sarawak.

“Ini jelas jika dibandingkan dengan parti lain yang kononnya melaungkan akan menjaga nasib bangsa sendiri pada asasnya, namun sebenarnya tiada pelaksanaan seperti apa yang dikatakan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai banyak permintaan daripada PR yang tidak diendahkan oleh kerajaan terutamanya untuk mengadakan rundingan bagi perlaksanaan proses peralihan kuasa agar berjalan mengikut tertib dan teratur, Azmin menganggap ia berlaku disebabkan sikap ego yang ditunjukkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita juga akan terus membahasakan isu mengenai bajet yang kini sudah tidak relevan dengan keadaan ekonomi sekarang walaupun sehingga hari ini tiada tanda-tanda maklum balas positif yang ditunjukkan oleh parti pemerintah.

“Kita perlu menyatakan kebenaran dan Pakatan Rakyat akan terus membahasakannya di Parlimen kerana ia perlu dilakukan (dirombak) demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Beliau juga berpandangan kerajaan tidak menyatakan yang benar mengenai kedudukan ekonomi negara yang pada hakikatnya semakin kritikal apabila memaklumkan kepada rakyat bahawa ia (ekonomi) adalah dalam keadaan baik dan kukuh.

“Peniaga telah merasai ekonomi semakin menguncup di mana peluang perniagaan telah berkurangan,” katanya.

Menurutnya, pemimpin negara dan menteri perlu sedar dan mengemukakan unjuran data dan angka-angka yang betul. Perkara ini (krisis ekonomi) juga telah diakui oleh ahli korporat.

“Pada krisis ekonomi tahun 1997 contohnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan semakan semula bajet dan fakta baru bagi mengukuhkan ekonomi. Ini dibuktikan oleh Parlimen apabila disemak dibuat. Dan kita mengharapkan ia berlaku pada kali ini tetapi sehingga kini tidak ada tanda-tanda bajet akan diubah.

“Jika keadaan ini dibiar, negara akan bankrap. Dengan keangkuhan kerajaan yang ada hari ini, tidak mustahil ia akan dihukum oleh rakyat kelak,” jelasnya.

Sementara itu, Azmin menolak tanggapan mengatakan kelewatan menubuhkan kerajaan akan mengurangkan sokongan rakyat terhadap PR.

“Perkara itu sama sekali tidak berlaku, kita tahu rakyat sentiasa ternanti-nanti peralihan pimpinan kerajaan baru bagi membela dan menjaga kebajikan mereka yang terabai sebelum ini.

“Mereka ternyata kecewa kerana peralihan kuasa gagal berlaku pada 16 September lalu, itu saya akui. Di sini saya menggesa rakyat agar lebih bersabar dan peralihan tampuk pemerintahan pasti akan berlaku,” ujarnya.

Beliau menambah, terdapat beberapa budaya tidak elok di dalam Barisan Nasional (BN) yang digunakan oleh pemerintah tertinggi yang takutkan perubahan di dalam kerajaan.

“Kita mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan tarikh yang sebenarnya kerana ada sahaja cubaan dan ancaman yang dibuat oleh mereka (BN) untuk menggagalkan usaha ini seperti yang berlaku sebelum ini.

“Apa yang pasti pada masa ini, jumlah ahli Parlimen yang diperlukan sudah membolehkan kita untuk membentuk kerajaan dan ia semakin bertambah, termasuklah dari semenanjung dan daripada parti komponen BN yang lain di mana saya sendiri di terlibat di dalam perbincangan ini,” jelasnya.

Ditanya mengenai bila agaknya kerajaan baru PR akan terbentuk, Azmin berkata; “Seberapa cepat yang boleh iaitu sebelum Mac 2009.”

Azmin juga tidak menafikan wujud usaha untuk menarik keluar Pas dari PR ketika di awal penggabungan mereka tetapi beliau yakin bahawa Pas akan terus berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Anwar malah tidak ada mana-mana pihak yang dapat mengganggu gugat kesepakatan yang telah dibentuk di dalam gabungan itu.

sumber suarakeadilan

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP