Sunday, October 12, 2008

NAJIB AKAN JADI BONEKA MAHATHIR?

Ruhanie Ahmad

Kebelakangan ini terdapat pelbagai suara, termasuk oleh bloggers tempatan, yang menyalurkan doa, harapan dan nasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menghindari kesilapan dan kepincangan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Doa, harapan dan nasihat ini mencerminkan kesungguhan serta kesukarelaan rakyat jelata untuk menyumbang idea demi memperkasakan kepimpinan Najib dan jemaah perjuangannya dalam usaha memulihkan negara tercinta ini di hari-hari mendatang.

Bagaimanapun, ada pula seorang mantan menteri yang meramalkan kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri de facto dan mahathirisme akan mendapat nafas baru bila Najib menerajui UMNO dan kerajaan Malaysia.

Kenyataan meleset ini membayangkan seolah-olah Najib tidak mampu menguruskan negara dan UMNO menurut visi, misi dan kebijaksanaanya sendiri. Ia juga cuba membayangkan kononnya Najib dan barisan pemimpin yang kelak bersamanya akan menjadi boneka Mahathir.

Nampaknya mantan menteri berkenaan terlupa bahawa dakwaan mengenai wujudnya Perdana Menteri de facto ini sebenarnya hanya kedengaran di era kepimpinan Abdullah - tidak di zaman Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn, waima di zaman Mahathir. Majoriti kita pun amat maklum siapakah individunya yang dikatakan menjadi Perdana Menteri de facto di era Abdullah ini.

Mahathirisme

Apa yang disifatkan sebagai mahathirisme pula memang boleh ditafsirkan mengikut sentimen dan citarasa pentafsirnya. Ia boleh jadi positif atau sebaliknya.

Tetapi, sebilangan besar kita menyifatkan mahathirisme sebagai ketegasan, keikhlasan, tidak flip-flop, tidak dijangkiti sindrom penafian, dan tidak mengizinkan mana-mana pihak menjadikan Malaysia sebagai bonekanya.

Mahathirisme juga adalah semangat dan sikap perjuangan yang sentiasa memelihara kemerdekaan dan kedaulatan ibu pertiwi, semangat dan perjuangan yang sentiasa menitikberatkan masa depan yang makmur dan selamat bagi seluruh rakyat jelata, amalan pengurusan yang mampu mentakrif masa depan sebagai landasan kepada pelbagai dasar dan program pro-aktif untuk kebaikan warga Malaysia, dan amalan tidak menggunakan agama sebagai topeng melegitimasikan sesuatu era kepimpinan.

Hari ini Mahathir membuat kenyataan di Melbourne, Australia, menasihati Najib “memastikan dirinya tidak dikelilingi oleh kroni dan anggota keluarga apabila beliau menjadi perdana menteri.”

Mahathir juga mencadangkan semoga Najib “mendapatkan nasihat daripada beberapa bekas anggota Parlimen dan pakar mengenai urusan mentadbir negara.”

Muhyiddin

Kenyataan penuh Mahathir yang dilaporkan oleh Bernama boleh diakses di sini:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm

Bernama juga memetik kenyataan Mahathir di Melbourbe bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan “tokoh terbaik” untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Kata Mahathir: “Terdapat banyak orang yang bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, tetapi saya fikir Muhyiddin adalah tokoh terbaik untuk menjadi timbalan kepada Najib.”

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm

Maka, soalnya di sini, mungkinkah mantan menteri berkenaan akan mengatakan bahawa kedua-dua kenyataan Mahathir di atas adalah bukti kononnya Mahathir akan jadi Perdana Menteri de facto dan mahathrisme akan menerima nafas baru di era kepimpinan Najib kelak?

Negarawan

Saya yakin kedua-dua kenyataan Mahathir di Melbourne ini adalah ikhlas dan demi kepentingan Malaysia dan rakyat jelata seluruhnya. Ini kerana Mahathir adalah seorang negarawan unggul yang dihormati, termasuk oleh komuniti dunia.

Biarpun Mahathir pernah diberikan pelbagai label dan nama jolokan yang negatif di era kepimpinannya selama 22 tahun, adalah tidak boleh dinafikan bahawa majoriti rakyat jelata Malaysia bangga dengan perjuangan serta pencapaian beliau.

Pada waktu yang sama, Mahathir bersara tanpa disuruh. Beliau meninggalkan legasi kepimpinan yang mengharumkan Malaysia. Beliau berwawasan besar dan jauh. Beliau sentiasa fokus. Beliau adalah negarawan yang yang mengketengahkan mentaliti dan psikologi “Malaysia Boleh!”.

Jadi, bila Najib dan barisan kepimpinannya kelak, Insya Allah, berjaya menggembilang dan mengharumkan semula nama Malaysia, adakah ini bermakna Najib menguruskan kerajaan dan siasahnya menurut telunjuk Mahathir?

Majlis Penasihat

Mudah-mudahan Najib dan barisan kepimpinannya kelak benar-benar menebus segala kesilapan dan kepincangan kepimpinan Abdullah supaya Abdullah sendiri tidak akan terkilan dengan slogan cemerlang, gemilang dan terbilang yang sebenarnya hanya indah khabar dari rupa.

Untuk itu, apa yang disarankan oleh Mahathir kebelakangan ini - bahawa kerajaan era pasca Abdullah sewajarnya membentuk satu majlis penasihat atau council of advisors sebagai pembimbing dan watch-dog kepada pengurusan negara - seelok-eloknya dihalusi oleh Najib dengan seberapa segera demi agama, bangsa dan tanahair seluruhnya.

Lantiklah sesiapa sahaja yang layak untuk mengetui majlis berkenaan. Lebih elok lagi jika majlis itu diwakili oleh seluruh entik Malaysia yang berwibawa asalkan mereka bukan golongan oportunis atau kelompok sokong yang membawa rebah!

Mungkin sukar untuk Najib dan barisan kepimpinannya untuk mengkoreksikan seluruh kesilapan dan kepincangan era Abdullah dengan sekelip mata. Tetapi, jikan iltizam ke arah ini dilaksanakan secara ikhlas, jujur, komprehensif dan konsisten, pastinya ia akan beroleh kejayaan.

KEPADA ALLAH BERSERAH.

diambil dari kudakepang

0 comments:

Blog Archive

widgeo

Solat Time

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP